KUCHING, 24 Oktober: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Sarawak menyasarkan untuk bertanding di sekurang-kurangnya tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri Ke-13 (PRN13), dengan satu lagi kerusi tambahan masih dalam pertimbangan.
Pesuruhjaya PAS Sarawak, Arifiriazul Paijo berkata, tiga kerusi yang dikenal pasti ialah DUN Samariang, Sebuyau dan Beting Maro, namun cadangan berkenaan masih tertakluk kepada keputusan muktamad kepimpinan tertinggi parti di peringkat pusat.
Menurutnya, PAS Sarawak telah mengemukakan cadangan tersebut kepada kepimpinan pusat, selain mempertimbangkan kemungkinan bertanding di satu lagi kerusi yang pernah ditandingi parti itu sebelum ini.
“Insya-Allah, tiga DUN ini hampir pasti untuk kita bertanding, tetapi masih tertakluk kepada keputusan kepimpinan tertinggi parti di peringkat pusat.
“Kita juga mempunyai satu lagi kerusi tambahan yang masih dalam pertimbangan dan belum dapat diumumkan buat masa ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media Khas PAS Sarawak di Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (SMITI) Petra Jaya, di sini, hari ini.
Arifiriazul berkata, PAS Sarawak sudah memulakan persiapan lebih awal dengan menggerakkan jentera pilihan raya di kawasan yang dikenal pasti, selain menyediakan senarai pendek bakal calon bagi ketiga-tiga kerusi berkenaan.
Katanya, pemilihan kawasan tersebut dibuat berdasarkan kesiapsiagaan jentera parti yang telah bergerak secara berterusan sejak pilihan raya negeri lalu.
“Ketiga-tiga DUN yang kita cadangkan ini mempunyai jentera yang sudah bersedia dan bergerak sejak awal untuk menghadapi pilihan raya.
“Dari segi calon pula, kita sudah mempunyai senarai pendek bagi setiap kawasan yang dicadangkan,” jelasnya.
Mengulas kemungkinan kerjasama politik dengan parti lain, beliau berkata, PAS Sarawak masih mengadakan perbincangan dengan beberapa parti, namun belum mencapai sebarang keputusan muktamad.
Bagaimanapun, katanya, penyertaan PAS di tiga kawasan yang dikenal pasti itu tetap menjadi keutamaan sama ada melalui kerjasama politik atau bertanding secara bersendirian.
“Buat masa ini, kita masih berbincang dengan beberapa rakan parti dan perkara itu belum dimuktamadkan.
“Walau apa pun, tiga DUN ini memang menjadi sasaran kita untuk bertanding, sama ada dengan gabungan ataupun tanpa gabungan,” katanya.
Sementara itu, Arifiriazul menjelaskan pemilihan DUN Sebuyau turut mengambil kira kedudukannya dalam kawasan Parlimen Batang Lupar sebagai sebahagian daripada persiapan jangka panjang PAS menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Menurutnya, penyertaan dalam PRN13 bukan sekadar untuk merebut kerusi DUN, sebaliknya bertujuan memperkukuh jentera dan membina momentum menjelang pilihan raya umum akan datang.
Bagi DUN Samariang pula, beliau berkata, kawasan itu mempunyai nilai sejarah kepada PAS kerana merupakan antara kerusi terawal yang pernah ditandingi parti berkenaan di Sarawak.
“Samariang sebenarnya kerusi tradisi kita. Antara kawasan pertama PAS bertanding di Sarawak ialah DUN Samariang, manakala kawasan PAS pertama di negeri ini ialah Petra Jaya,” katanya.
Mengulas peningkatan jumlah kerusi yang disasarkan berbanding hanya satu kerusi pada PRN 2021, beliau berkata, PAS pernah bertanding di tiga kerusi pada 2001, satu kerusi pada 2006, lima kerusi pada 2011 dan 11 kerusi pada 2016.
Justeru, katanya, sasaran sekurang-kurangnya tiga kerusi pada PRN13 bukan sesuatu yang luar biasa berdasarkan sejarah penyertaan PAS dalam pilihan raya negeri.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, PAS Sarawak turut mengambil semangat daripada pencapaian parti itu di Sabah sebagai motivasi untuk memperkukuh sokongan di negeri ini.
Katanya, PAS kini mempunyai lebih 8,000 ahli di seluruh Sarawak, termasuk 1,423 ahli berdaftar dan lapan cawangan di kawasan Pending.
Beliau menegaskan penyertaan PAS dalam PRN13 bertujuan memperjuangkan kepentingan rakyat Sarawak serta menawarkan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat di kawasan yang ditandingi.
“Matlamat kita adalah untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan masyarakat di kawasan yang kita tandingi.
“Kita sudah berusaha dan bekerja, selebihnya kita serahkan kepada pengundi,” katanya.
Oleh Shahrul Qaizat





