SIBU, 24 Oktober: Sarawak menerima peruntukan RM7.4 bilion bagi pelaksanaan 46 projek berkaitan air di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), merangkumi usaha tebatan banjir, pemuliharaan sungai dan hakisan pantai.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, peruntukan di bawah Rolling Plan 1 (RP1) itu melibatkan 33 projek sambungan dan 13 projek baharu, dengan RM5.8 bilion diperuntukkan bagi projek yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
“Pelaksanaan projek ini diharap dapat memperkukuh keterjaminan sumber air, mengurangkan risiko bencana dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan alu-aluan sempena Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 di Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa 2 di sini, hari ini.
Majlis itu turut dirasmikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Dalam pada itu, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, kementeriannya melalui JPS turut melaksanakan Kajian Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) bagi Lembangan Batang Rajang yang dijangka siap pada Ogos 2027.
“Lembangan Batang Rajang merupakan satu daripada sembilan lembangan sungai di Sarawak yang terlibat dalam pelaksanaan kajian ini,” katanya.
Beliau berkata, kajian berkenaan penting bagi memastikan pengurusan sumber air dan sungai dilaksanakan secara menyeluruh, khususnya dalam usaha mengurangkan risiko banjir serta memelihara kelestarian alam sekitar.
“Usaha ini penting bagi memelihara sumber air, mengurangkan risiko banjir serta memastikan pembangunan dilaksanakan dengan mengambil kira kesejahteraan masyarakat dan kelestarian alam sekitar.
“Justeru, saya berharap kajian ini dapat menghasilkan pelan tindakan bagi membantu kerajaan Sarawak mengurus sungai secara lebih bersepadu, sistematik dan berterusan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kerjasama erat antara kerajaan Sarawak, agensi pelaksana, pihak berkuasa tempatan dan masyarakat amat penting bagi memastikan projek serta perancangan pengurusan sungai dapat dilaksanakan dengan berkesan dan mencapai matlamat yang ditetapkan.
Fadillah turut menyeru komuniti, sektor industri, badan bukan kerajaan (NGO) dan golongan muda supaya memainkan peranan bersama dalam menjaga kebersihan sungai, termasuk mengelakkan pembuangan sampah serta melaporkan kegiatan pencemaran.
Oleh Tarani Lanting



