Jualan Rahmah MADANI Bergerak bantu penduduk tangani kos sara hidup

Facebook
WhatsApp
INTERAKSI… Dato Wee Hong Seng berinteraksi dengan penduduk pada program Jualan Rahmah MADANI di Dewan Komuniti Kenyalang Park, hari ini. Foto Adele Rissa

KUCHING, 24 Oktober: Penganjuran Jualan Rahmah MADANI Bergerak di Dewan Komuniti Kenyalang Park menjadi antara usaha Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) mendekati masyarakat dan menangani kebimbangan penduduk terhadap kos sara hidup.

Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, program itu turut membuka ruang kepada pihak majlis untuk berinteraksi secara langsung dengan penduduk bagi memahami keperluan dan isu yang dihadapi mereka.

Menurutnya, MBKS sejak awal tahun ini aktif mengadakan lawatan ke pusat penjaja dan pasar serta bertemu penduduk bagi mendengar maklum balas mereka selain berkongsi inisiatif yang dilaksanakan oleh pihak majlis.

SUASANA sekitar Jualan Rahmah MADANI Bergerak di Dewan Komuniti Kenyalang Park, hari ini. Foto Adele Rissa

“Penganjuran ini bukan sekadar menyediakan produk untuk dijual menerusi Jualan Rahmah MADANI, tetapi juga memberi peluang kepada kami melihat sambutan masyarakat dan berinteraksi dengan penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Jualan Rahmah MADANI Bergerak di Dewan Komuniti Kenyalang Park, di sini, hari ini.

Wee berkata, MBKS menerima lebih 500 maklum balas menerusi dua sesi pertemuan komuniti selepas penganjuran Pesta Kuih Bulan sebelum ini.

Katanya, maklum balas berkenaan merangkumi isu infrastruktur, kos sara hidup dan keselamatan yang sedang dikumpulkan serta disusun mengikut keutamaan bagi membantu pihak majlis merancang tindakan jangka pendek dan jangka panjang.

Menurutnya, isu yang berada di bawah bidang kuasa MBKS akan ditangani mengikut keutamaan, manakala perkara di luar bidang kuasa pihak majlis akan diusahakan melalui kerjasama dengan pihak berkaitan, termasuk mendapatkan bantuan penaja jika perlu.

Beliau berkata, MBKS akan terus menganjurkan program komuniti bagi menggalakkan lebih ramai penduduk tampil menyuarakan pandangan dan memberikan cadangan membina.

“Kami mungkin tidak dapat menyelesaikan semua masalah serentak, tetapi kami mahu penduduk tahu bahawa suara mereka didengari dan kami akan melakukan yang terbaik untuk membantu,” katanya.

Oleh Adele Rissa