LUBOK ANTU, 23 Oktober: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu memperkukuh kesiapsiagaan seluruh warganya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-13 (PRN13) yang dijangka berlangsung pada bila-bila masa.
Ketua Polis Daerah Lubok Antu, DSP Pricha Azin, menegaskan setiap elemen di bawah IPD berkenaan perlu memastikan perancangan sumber manusia, peralatan serta keperluan logistik berada pada tahap kesiapsiagaan optimum bagi memastikan kelancaran penugasan pilihan raya.
Beliau turut menekankan kepentingan meningkatkan ilmu pengetahuan dan kefahaman semua warga kerja berkaitan tanggungjawab masing-masing dalam menghadapi PRN13.
“Semua elemen IPD Lubok Antu perlulah memastikan segala perancangan sumber manusia, peralatan dan keperluan logistik dalam keadaan siapsiaga, di samping mempertingkatkan ilmu pengetahuan semua warga kerja bagi penugasan PRN Sarawak nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Daerah Lubok Antu bagi Oktober 2026 yang berlangsung di Dataran Kawad IPD Lubok Antu, pagi tadi.
Perhimpunan itu dihadiri seramai 62 warga kerja IPD Lubok Antu dan dimulakan dengan laporan oleh Pegawai Baris Perhimpunan, Inspektor Rodi Wong, sebelum diteruskan dengan nyanyian lagu Negaraku, Ibu Pertiwiku dan Sang Saka Biru, bacaan doa serta lafaz ikrar Rukun Negara.
Dalam pada itu, DSP Pricha mengingatkan semua warga kerja supaya sentiasa mengekalkan integriti dan disiplin pada tahap tertinggi, selain memupuk suasana kerja yang harmoni serta menghormati ketua dan pegawai yang lebih kanan.
Beliau turut menegaskan bahawa warga kerja perlu menjauhi kegiatan penyalahgunaan dadah serta membudayakan amalan kerja dengan penuh semangat dan komitmen menerusi pendekatan ‘work with passion’.
“Usaha membanteras kegiatan dadah dan perjudian dalam talian juga perlu dilaksanakan secara berterusan selaras dengan hala tuju pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak,” ujarnya.
Pada majlis sama, DSP Pricha menyampaikan Watikah Istiadat Penganugerahan Darjah Kepahlawanan Pasukan Polis (DKPP) kepada Sub Inspektor (B) Jemat Jineh.
Beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada tiga Pegawai Rendah Polis (PRP) dan sembilan pegawai awam sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan mereka dalam melaksanakan tugas.
Perhimpunan bulanan itu bukan sahaja menjadi platform menyampaikan amanat kepimpinan, malah memperkukuh disiplin, integriti dan komitmen warga IPD Lubok Antu dalam memastikan kesiapsiagaan pasukan serta mutu penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat sentiasa terpelihara.
Oleh Adi Safarman





