KUALA LUMPUR, 23 Oktober: Kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk mengharamkan sepenuhnya penggunaan aplikasi navigasi Waze di Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata langkah itu mungkin dilakukan selepas kerajaan meneliti alternatif bagi menggantikan Waze, termasuk keupayaan tempatan untuk membangunkan aplikasi seumpamanya yang mampu berfungsi dengan baik.
“Isu Waze ini isu berat bagi kita kerana pertamanya, ibu pejabatnya itu di Israel. Kedua, dalam perjanjian penggunaan aplikasi itu, jika ada masalah, itu undang-undang Israel yang tentukan. Itu menyebabkan mengapa saya ambil tindakan agak spontan (larang penggunaan Waze).
“Hal ini tak boleh nak tangguh, satu hari pun tak boleh. Ada orang kata patut sabar dulu, semak dulu. Saya kata dah sah kalau gunakan Waze, maknanya secara automatik dia menyerahkan semua maklumat kepada Israel. Jadi ini soal keselamatan rakyat dan negara, saya tidak boleh kompromi,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Mustaqim, Taman Nirwana di sini hari ini. – Bernama





