KUCHING, 23 Oktober: Polis telah merakam percakapan 24 saksi berhubung insiden di sebuah sekolah swasta di Kuching, manakala siasatan masih diteruskan.
Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Saifullizan Ishak berkata, saksi yang dirakam percakapan terdiri daripada pengadu, mangsa, pegawai perubatan, anggota polis yang terlibat dalam tindakan tangkapan dan rampasan, ibu bapa individu yang disiasat, pemandu keluarga, wakil pihak sekolah serta pelajar.
Beliau berkata, suspek masih menerima rawatan di hospital dan polis meneruskan siasatan dengan mengambil kira keadaan kesihatan suspek serta nasihat dan penilaian pegawai perubatan.
“Segala prosedur siasatan akan dilaksanakan dengan mematuhi undang-undang dan keperluan perundangan yang berkuat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Saifullizan menegaskan bahawa siasatan dijalankan secara profesional, teliti dan menyeluruh dengan mengambil kira semua keterangan serta bukti yang berkaitan.
Katanya, sebarang tindakan lanjut akan ditentukan berdasarkan fakta yang diperoleh sepanjang siasatan dan peruntukan undang-undang.
Beliau turut menegaskan bahawa polis memandang serius sensitiviti semua pihak yang terlibat, khususnya kebajikan mangsa dan pelajar yang terkesan akibat insiden berkenaan.
Sehubungan itu, orang ramai diminta menghormati privasi mereka dan tidak menyebarkan identiti, gambar atau maklumat peribadi yang boleh membawa kepada pengenalpastian mana-mana pihak, terutama individu bawah umur.
Saifullizan berkata, Polis Sarawak komited memastikan siasatan dijalankan secara adil, objektif dan berlandaskan kedaulatan undang-undang.





