KUCHING, 22 Oktober: Orang ramai diminta menghentikan penyebaran rakaman video dan gambar yang boleh mendedahkan identiti murid terlibat dalam insiden di sebuah sekolah, bagi mengelakkan kesan terhadap emosi kanak-kanak serta keluarga mereka.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng, berkata keutamaan ketika ini adalah memastikan kebajikan murid dan warga sekolah terus terpelihara, selain memberi ruang kepada komuniti sekolah untuk kembali menjalani rutin harian.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke sekolah berkenaan pagi ini dan bertemu dengan guru besar bagi mendapatkan maklumat mengenai pengendalian insiden serta langkah yang diambil untuk menjaga kesejahteraan murid dan kakitangan.

Wee memuji pihak pengurusan sekolah atas tindakan mereka menangani situasi berkenaan dan memaklumkan bahawa kehadiran murid hari ini hampir mencapai 80 peratus.
Beliau turut memuji keberanian seorang guru yang cedera ketika melindungi muridnya serta dua murid yang tampil membantu guru berkenaan.
Katanya, tindakan mereka wajar dihargai, sambil berharap guru yang cedera itu segera pulih.
Dalam pada itu, Wee mengingatkan masyarakat supaya tidak memuat naik semula atau berkongsi bahan visual yang membolehkan kanak-kanak terlibat dikenal pasti, kerana tindakan sedemikian boleh menambahkan tekanan kepada mereka dan keluarga masing-masing.
Beliau turut menarik perhatian kepada Seksyen 15 Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan perlindungan identiti kanak-kanak bagi kes yang termasuk dalam skop peruntukan tersebut, termasuk kanak-kanak yang terlibat sebagai pesalah yang dituduh, mangsa atau saksi.
Perlindungan itu merangkumi nama, alamat, institusi pendidikan dan maklumat lain yang boleh membawa kepada pengenalpastian kanak-kanak, termasuk gambar atau imej yang mendedahkan identiti mereka. Pelanggaran sekatan berkenaan merupakan suatu kesalahan jenayah.
Menurut Wee, orang ramai perlu lebih berhati-hati ketika berkongsi maklumat di media sosial kerana identiti kanak-kanak boleh didedahkan bukan sahaja melalui nama, malah melalui gambar, video serta butiran mengenai sekolah atau keluarga mereka.
Beliau turut menekankan kepentingan kesihatan mental dan kesejahteraan emosi murid, dengan kerjasama pihak sekolah, ibu bapa dan profesional yang berkelayakan diperlukan bagi memastikan mereka mendapat kaunseling serta sokongan yang bersesuaian.

Katanya, kanak-kanak perlu berasa selamat untuk berkongsi kebimbangan dan mendapatkan bantuan tanpa takut dihakimi, selain mengetahui saluran yang boleh dihubungi apabila memerlukan sokongan.
Wee berkata, perkara itu selaras dengan Pelan Tindakan Inisiatif Bandar Mesra Kanak-kanak (CFCI) Kuching Selatan yang menekankan kesejahteraan mental dan emosi kanak-kanak, selain keselamatan fizikal mereka.
Beliau menambah, usaha mewujudkan persekitaran mesra kanak-kanak memerlukan kerjasama sekolah, keluarga dan agensi berkaitan bagi meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan mental serta memastikan bantuan dapat diperoleh lebih awal.
Wee menegaskan bahawa setiap kanak-kanak berhak berasa selamat, didengari dan mendapat sokongan, justeru masyarakat perlu bertanggungjawab terhadap maklumat yang disebarkan, khususnya ketika melibatkan kanak-kanak.
Oleh Shikin Mahmud





