Tiada sekolah harus terpinggir daripada program pencegahan jenayah

Facebook
WhatsApp
RAKAMAN gambar kenangan bersama warga IPD Mukah selepas selesai sesi pemeriksaan Guard Turn Out (GTO). Foto IPD Mukah.

MUKAH, 22 Oktober: Sekolah yang sebelum ini dikecualikan daripada lawatan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) perlu diberi perhatian khusus menerusi pelaksanaan program pencegahan jenayah sekurang-kurangnya sekali setahun.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (KJPJKK) Kontinjen Sarawak, SAC Roselina Daud berkata, langkah itu penting bagi memastikan tiada institusi pendidikan tercicir daripada menerima maklumat dan pendidikan berkaitan pencegahan jenayah.

Beliau berkata, Buku Modul Kesedaran Jenayah Kanak-Kanak dan Remaja (MESRA) yang diserahkan sempena lawatan kerja rasminya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah turut menjadi panduan penting kepada PPS dalam menyampaikan ceramah kepada pelajar.

“Tanggungjawab terhadap penyimpanan dan pengurusan buku modul ini hendaklah diberi perhatian serius oleh Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (KBPJKK) di peringkat daerah,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika mengetuai lawatan kerja rasmi ke IPD Mukah, hari ini.

WARGA IPD Mukah ketika pemeriksaan Guard Turn Out (GTO). Foto IPD Mukah.

Dalam lawatan itu, Roselina turut memberi penekanan terhadap aspek kebajikan dan mobiliti anggota serta pelaksanaan pemeriksaan berkala terhadap Polis Bantuan berdasarkan Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN).

Selain itu, beliau menggalakkan warga IPD Mukah mengambil inisiatif proaktif bagi mengatasi kekangan peruntukan, khususnya dalam penyediaan bahan pameran dan ceramah yang berkualiti.

Dalam pada itu, Roselina turut mengingatkan seluruh warga pasukan supaya sentiasa mengamalkan sikap jujur, amanah dan bertanggungjawab ketika melaksanakan tugas harian.

Beliau juga menggesa warga IPD Mukah agar terus merebut peluang menimba ilmu, mempelajari perkara baharu dan meningkatkan kompetensi diri bagi memperkukuh mutu penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

Lawatan kerja berkenaan diakhiri dengan penyampaian sijil penghargaan dan cenderahati sebelum Roselina meneruskan siri lawatan kerjanya ke IPD Dalat.

Turut menyertai lawatan itu, ASP Ahmad Abang, ASP Noraeleza Salleh dan Sjn Noriah Putit.

Oleh Adibfahmy