KUCHING, 22 Oktober: Kemudahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kenyalang bakal ditambah baik menerusi sumbangan kipas ekzos oleh AMCAN Sdn. Bhd. bagi menangani masalah pengudaraan di kawasan perhimpunan dan kantin sekolah itu.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng, berkata sumbangan terbaharu itu menyusuli bantuan syarikat berkenaan dalam membaiki bumbung sekolah yang mengalami kerosakan akibat ribut pada September lalu.
Kejadian angin kencang ketika itu menyebabkan beberapa keping atap tercabut, mengakibatkan kebocoran air serta menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan murid dan guru.

Selepas Wee meninjau keadaan di sekolah berkenaan, AMCAN bersetuju menyediakan bahan untuk membaiki bumbung, manakala Wan Li Wan Welding Works melaksanakan kerja pembaikan.
Sebagai menghargai sumbangan tersebut, AMCAN menerima plak penghargaan dalam satu majlis di SK Kenyalang pada 21 Oktober lalu, khususnya atas bantuan membaiki bumbung di kawasan perhimpunan dan kantin.
Dalam lawatan sama, Wee turut mengenal pasti masalah suhu panas dan pengudaraan yang kurang memuaskan di kedua-dua kawasan berkenaan.
Pengarah Urusan AMCAN, Lim San Hock, kemudian bersetuju menyumbangkan kipas ekzos bagi membantu melancarkan peredaran udara serta meningkatkan keselesaan murid dan guru.

Wee berkata, tindakan syarikat itu menunjukkan bahawa tanggungjawab sosial korporat (CSR) boleh dilaksanakan melalui bantuan praktikal yang memenuhi keperluan komuniti setempat.
Menurutnya, nilai sesuatu sumbangan bukan sekadar diukur berdasarkan jumlah wang yang dibelanjakan, tetapi juga kesan positif yang dirasai oleh penerimanya.
Beliau berkata, kerjasama antara pihak berkuasa tempatan, sektor swasta, sekolah dan masyarakat amat penting bagi memastikan persekitaran pembelajaran kanak-kanak sentiasa selamat dan selesa.
Usaha itu turut selari dengan Pelan Tindakan Inisiatif Bandar Mesra Kanak-kanak (CFCI) Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), yang memberi penekanan terhadap persekitaran lebih selamat, sihat dan sesuai untuk kanak-kanak.
Wee turut merakamkan penghargaan kepada Lim, AMCAN Sdn. Bhd. dan Wan Li Wan Welding Works atas kerjasama yang diberikan, selain berharap lebih banyak syarikat tampil menyumbang kepada usaha meningkatkan kesejahteraan masyarakat.
Oleh Shikin Mahmud





