KUCHING, 22 Oktober: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, menegaskan beliau tidak mempunyai alasan untuk meninggalkan kawasan Batu Kawah, sambil menekankan kepentingan meneruskan pembangunan bagi memenuhi keperluan penduduk.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawah berkata, pembangunan kawasan itu perlu dinilai berdasarkan perubahan yang dicapai dalam tempoh 10 tahun lalu serta usaha untuk menjadikannya lebih baik dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Selepas lima hingga 10 tahun, hampir semua projek pembangunan itu sudah siap. Jadi, adakah Batu Kawah kini lebih baik berbanding 10 tahun lalu? Untuk lima tahun akan datang, adakah penduduk mahu kawasan ini menjadi lebih baik daripada sekarang?” katanya ketika ditemui pemberita semasa pelancaran Projek Tebatan Banjir (RTB) Skim Penempatan Semula Stampin hari ini.
Dr Sim berkata, pembangunan tidak semestinya dapat dilaksanakan dengan segera kerana kekangan kewangan sebelum ini turut mempengaruhi kelajuan pelaksanaan projek.
Menurutnya, Sarawak kini mempunyai kedudukan kewangan yang lebih kukuh berbanding sedekad lalu, sekali gus membolehkan lebih banyak peruntukan disalurkan untuk pembangunan dan dikembalikan kepada rakyat.
Beliau berkata, peruntukan pembangunan bagi Batu Kawah sepanjang lima tahun pertama penggalnya berjumlah kira-kira RM300 juta, sebelum meningkat kepada sekitar RM900 juta dalam tempoh lima tahun berikutnya.
Katanya, peningkatan itu mencerminkan perubahan keupayaan kewangan Sarawak serta membolehkan lebih banyak projek pembangunan dilaksanakan.
Dr Sim turut menjelaskan bahawa pembangunan perlu dilihat sebagai usaha berterusan, dengan sesetengah projek memerlukan masa untuk disiapkan dan hasilnya dapat dinikmati penduduk secara berperingkat.
Mengulas kemungkinan berpindah untuk bertanding di kawasan lain, beliau berkata tiada sebab untuk berbuat demikian selagi penduduk Batu Kawa masih mahukannya mewakili kawasan itu.
Beliau turut menjawab bahawa beliau akan kekal di Batu Kawah ketika ditanya sama ada pengundi dari kawasan lain pernah memintanya bertanding di kawasan mereka.
Dr Sim, yang juga Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), mula bertanding dalam pilihan raya pada 2011 apabila beliau mewakili parti itu di kerusi DUN Pending, namun tewas kepada calon DAP, Violet Yong Wui Wui.
Beliau kemudian bertanding di DUN Batu Kawah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 2016 dan berjaya merampas kerusi itu daripada DAP dengan memperoleh 6,414 undi, sekali gus menang dengan majoriti 2,085 undi.
Pada PRN 2021, beliau mempertahankan kerusi berkenaan atas tiket Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan peningkatan sokongan kepada 7,827 undi dan majoriti 5,393 undi.
Oleh Afiq Sallehi





