Pendidikan perpaduan perlu bermula sejak usia awal

Facebook
WhatsApp
KANAK-KANAK Tabika Perpaduan membuat persembahan sempena majlis penutupan Program Pintar Kreatif Tabika Perpaduan Bahagian Bintulu Tahun 2026.

BINTULU, 22 Oktober: Pendidikan perpaduan perlu diterapkan sejak usia awal bagi membentuk generasi yang saling menghormati dan menerima kepelbagaian kaum serta budaya dalam masyarakat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, Tabika Perpaduan menyediakan ruang kepada kanak-kanak daripada pelbagai latar belakang untuk belajar, bermain dan berinteraksi bersama dalam persekitaran yang menggalakkan perpaduan.

Menurutnya, pengalaman harian itu membantu kanak-kanak memahami kepentingan menghormati perbezaan, berkongsi dan bekerjasama sejak kecil.

“Daripada perkara-perkara kecil inilah, mereka belajar menghormati satu sama lain, berkongsi, bekerjasama dan menerima perbezaan,” katanya.

Beliau berkata demikan dlaam teks ucapan yang dibacakan wakilnya, Kapitan Toh Kouk Ping, pada majlis penutupan Program Pintar Kreatif Tabika Perpaduan Bahagian Bintulu Tahun 2026 di Kompleks Beli-belah Boulevard di sini, hari ini.

Johnny Pang berkata, program bertemakan ‘Bersama Membina Negara Bangsa’ itu turut memberi peluang kepada kanak-kanak mengembangkan kreativiti dan keyakinan diri menerusi aktiviti seperti drama muzikal, pertandingan membaca, bicara berirama dan action song.

KAPITAN Toh Kouk Ping menyampaikan ucapan pada majlis penutupan Program Pintar Kreatif Tabika Perpaduan Bahagian Bintulu Tahun 2026.

Katanya, setiap kanak-kanak mempunyai minat dan kelebihan tersendiri yang perlu dibimbing bagi membantu mereka mengembangkan potensi masing-masing.

Dalam pada itu, beliau berkata penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) berpotensi membantu guru menghasilkan bahan pembelajaran yang lebih menarik, namun perlu dilaksanakan mengikut kesesuaian umur dan keperluan kanak-kanak.

Beliau menegaskan bahawa teknologi tidak boleh menggantikan peranan guru yang memberikan bimbingan, perhatian dan sokongan dalam proses pembelajaran.

Oleh itu, beliau turut menggalakkan kerjasama berterusan antara guru, ibu bapa dan masyarakat bagi memastikan kanak-kanak mendapat pendidikan awal yang menyeluruh, sekali gus membesar sebagai generasi berilmu dan menghargai perpaduan.

Oleh Carolyne Utih