MUKAH, 22 Oktober: Siapa sangka, masa lapang yang terluang menjadi asbab kepada kemenjadian sebuah perusahaan makanan yang semakin berkembang maju sehingga kini.
Rakyat Johor khususnya di Batu Pahat sudah pasti amat mengenali seorang peniaga yang berperwatakan mesra dan peramah kepada para pembeli yang berkunjung ke gerainya.
Tidak lain tidak bukan, insan tersebut merupakan pemilik Nasi Pakistan No.1 Batu Pahat, terkenal dengan hidangan Nasi Pakistan Lamb Shank yang menjadi pilihan ramai.

Beliau merupakan Azrul Hisyam Basherahil, 43 menyahut seruan untuk berniaga di Pasar Lama Mukah sempena program Lorong Sahabat Pesta Makanan 6.0 yang akan berlangsung dari 21 hingga 25 Oktober 2026.
Menurut beliau, perusahaan ini pertama kalinya diadakan di sebuah surau bertempat di Batu Pahat.
“Sebenarnya kewujudan perusahaan ini terjadi apabila saya mempunyai masa lapang ketika berada di rumah.
“Selain itu, saya juga mempunyai pengalaman bekerja di Singapura yang mana saya diperkenalkan dengan hidangan tulang merah yakni menjadi lamb shank pada hari ini,” katanya apabila ditemu bual oleh Utusan Sarawak.
Bayangkan semuanya bermula dari sebuah surau di Johor, peniaga yang penuh dedikasi ini terus meluaskan langkahnya dalam mencari rezeki ke seluruh Semenanjung Malaysia sehinggalah tiba di bumi Kenyalang.

Di samping itu, Azrul turut berkongsi strategi yang beliau gunakan dalam perusahaannya untuk terus relevan dalam dunia keusahawanan.
Menurutnya, strategi untuk kekal aktif di media sosial merupakan usaha yang turut menyumbang kepada kejayaannya hari ini.
“Pada zaman sekarang, kekal aktif di media sosial telah menjadi perkara utama sebagai strategi untuk menarik minat pembeli.
“Bukan itu sahaja, saya juga kerap berkongsi berkaitan perjalanan hidup, masakan dan juga resipi di media sosial,” katanya.
Tegasnya lagi, orang yang menonton amat gemar untuk mengambil iktibar daripada perkara baik yang kita lakukan.
Sehubungan itu, Azrul menyifatkan perjalanan hidupnya sebagai sebuah ijazah jalanan di mana beliau gemar menggembara ke seluruh tempat dalam menjalankan perniagaan.

“Pada masa yang sama, saya dapat melihat macam-macam budaya apabila berada di suatu-suatu tempat,” katanya lagi.
Beliau turut menyampaikan hasrat untuk berniaga di Sabah apabila berpeluang pada masa akan datang.
Ujarnya, sasaran untuk berniaga di Sabah akan menjadi pencapaian peribadi di dalam hidupnya apabila berjaya berniaga di seluruh negeri di Malaysia.
Walau bagaimanapun, setiap perkara yang dilaksanakan di bumi yang maha Esa ini sudah pasti akan diiringi dengan ujian.
Beliau turut berkongsi tentang cabaran yang dihadapinya sepanjang perjalanannya berniaga di Mukah.
“Sudah tentu, kos pengangkutan yang tinggi adalah cabaran yang utama serta diiringi oleh faktor geografi di Sarawak.
“Semasa perjalanan ke Kuching untuk mengambil bekalan, kereta yang dipandu telah habis minyak kira-kira berbaki 2 jam perjalanan untuk sampai.
“Kami tidak tahu bahawa stesen minyak telah tutup jadi kami teruskan sahaja perjalanan menyebabkan kami terpaksa berhenti di sebuah stesen minyak yang telah tutup,” ujarnya.
Beliau menyatakan harapan agar sasaran untuk membeli sebidang tanah tercapai untuk membina sebuah restoran kerana menyimpan hasrat untuk kembali berniaga di tempat sendiri.
Oleh Adibfahmy





