KUCHING, 7 Oktober: Di sebalik setiap sapuan berus dan wajah yang berseri, tersimpan perjalanan hampir dua dekad Siti Khadijah Abdul Rahman membina kerjaya dalam dunia kecantikan, dengan satu matlamat membuatkan setiap wanita yang menerima sentuhannya tampil lebih yakin.
Bermula hanya dengan minat terhadap seni solekan, pemilik Chanteq Bridal & Beauty itu tidak pernah menyangka langkah kecilnya pada 2008 akhirnya membawa beliau bertahan hampir 20 tahun sebagai jurumekap profesional dan usahawan kecantikan.

Bagi Siti Khadijah, kepuasan sebenar bukan sekadar melihat perubahan pada wajah seseorang selepas disolek, tetapi menyaksikan senyuman dan keyakinan yang terpancar apabila pelanggan melihat diri mereka di hadapan cermin.
“Bagi saya, solekan bukan sekadar mencantikkan wajah, tetapi ia juga tentang memberikan keyakinan, kegembiraan dan pengalaman yang akan dikenang oleh pelanggan,” katanya.
Namun, perjalanan panjang itu bukan sentiasa dihiasi warna indah apabila pandemik COVID-19 menjadi antara ujian terbesar yang pernah dihadapinya sepanjang bergelar usahawan.

Apabila majlis perkahwinan dan acara tidak dapat berlangsung seperti biasa antara 2020 hingga 2022, perkhidmatan secara bersemuka yang menjadi nadi perniagaannya turut terhenti.
Daripada membiarkan keadaan menentukan nasib, Siti Khadijah memilih untuk mencari jalan lain bagi meneruskan kehidupan apabila berus solekan yang menjadi sumber rezekinya terpaksa ‘direhatkan’ buat sementara waktu.
Beliau beralih ke bidang makanan dengan menghasilkan pek makanan termasuk shepherd’s pie dan makanan ringan, selain menerima tempahan menerusi platform penghantaran GrabFood dan Shopee.

Apabila industri kembali bernafas, Siti Khadijah kembali kepada dunia yang paling dekat di hatinya dengan semangat baharu, sambil terus mempertingkatkan kemahiran dan mengikuti perubahan trend solekan.
Menurutnya, trend ketika ini lebih menjurus kepada gaya Thailand, kemasan berseri dan minimalis yang menggunakan warna semula jadi tanpa solekan terlalu berat atau sarat.
Namun, beliau tidak mahu sekadar mengejar trend kerana setiap wajah mempunyai keistimewaan tersendiri dan memerlukan sentuhan yang berbeza mengikut keadaan kulit, bentuk wajah, pakaian, tema serta personaliti pelanggan.
“Saya tidak mahu semua pelanggan kelihatan sama. Saya cuba menghasilkan solekan yang sesuai dengan karakter setiap individu supaya mereka tampil lebih yakin dan selesa,” katanya.

Di sebalik ketekunannya membina Chanteq Bridal & Beauty, Siti Khadijah turut mendapat sokongan suaminya, Abg Mohamad Mizuandy yang bukan sahaja menjadi pendorong sejak awal, malah turut bersama dalam perniagaan sebagai groom stylist.
Siti Khadijah yang pernah menjadi finalis dan peserta Sarawak Next Top MUA serta memenangi beberapa pertandingan solekan turut menaja perkhidmatan solekan kepada tetamu podcast Borak Kenyalang terbitan Utusan Sarawak sebagai sokongan terhadap kandungan kreatif tempatan.
Selepas hampir dua dekad melalui pelbagai cabaran, beliau percaya seni solekan mempunyai ruang luas untuk diterokai generasi muda sebagai kemahiran yang mampu berkembang menjadi sumber pendapatan.

“Jangan hanya bergantung kepada bakat. Kita perlu terus belajar, banyak berlatih dan membina portfolio sendiri. Dalam dunia perniagaan, setiap cabaran adalah proses untuk menjadi lebih baik,” katanya.
Kini, impian Siti Khadijah tidak lagi terbatas kepada menghasilkan solekan yang cantik, sebaliknya mahu pengalaman hampir 20 tahun itu dikongsi dengan lebih ramai bakal jurumekap dan usahawan kecantikan.
Baginya, setiap senyuman pelanggan selepas selesai disolek menjadi bukti bahawa perjalanan panjang itu berbaloi kerana di sebalik setiap wajah yang dihias, ada keyakinan yang berjaya dibina.
“Saya berharap suatu hari nanti bukan sahaja dikenali sebagai seorang jurumekap, tetapi juga sebagai mentor dan usahawan dalam industri kecantikan yang mampu memberi inspirasi kepada orang lain,” katanya.
Oleh Norman B




