Pasar basah Tamu Limbang dipilih sebagai Pasar PATUH 2026

Facebook
WhatsApp
PATUH...Mohd Khairi Jamaludin pada Program Pasar Patuh KPDN Cawangan Limbang 2026 di Bangunan Tamu Limbang.

LIMBANG, 21 Oktober: Pasar basah di Bangunan Tamu Limbang dipilih sebagai Pasar PATUH bagi Daerah Limbang oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tahun ini dalam usaha memperkukuh pematuhan undang-undang serta membudayakan amalan perniagaan beretika dalam kalangan peniaga.

Timbalan Pengarah KPDN Sarawak merangkap Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri Sarawak, Mohd Khairi Jamaludin berkata, inisiatif itu bertujuan meningkatkan kesedaran peniaga terhadap kepentingan mematuhi undang-undang perniagaan, sekali gus melindungi hak dan kepentingan pengguna.

Menurutnya, pelaksanaan Pasar PATUH memberi penekanan kepada lima elemen utama bagi memastikan aktiviti jual beli dijalankan secara telus, adil dan berintegriti.

“Pada program ini, kita menekankan lima elemen utama PATUH, iaitu penandaan harga barangan, penggunaan alat timbang dan sukat yang ditentusahkan, transaksi jualan yang jelas dan telus, urus niaga yang adil serta berintegriti, dan penetapan harga tanpa unsur pencatutan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Pasar PATUH KPDN Cawangan Limbang 2026 di Bangunan Tamu Limbang, di sini, hari ini.

Mohd Khairi berkata, pemilihan pasar basah berkenaan dijangka dapat memperkukuh tahap pematuhan undang-undang, selain meningkatkan kesedaran peniaga terhadap kepentingan mengamalkan perdagangan yang beretika.

Katanya, pemilihan itu juga mencerminkan komitmen berterusan KPDN dalam memastikan aktiviti perniagaan di pasar awam dilaksanakan secara teratur, telus dan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Pelaksanaan inisiatif ini juga bertujuan membudayakan amalan perniagaan yang bertanggungjawab dalam kalangan peniaga, sekali gus meningkatkan keyakinan pengguna terhadap urusan jual beli,” katanya.

Beliau menjelaskan, usaha berkenaan turut menyokong pembangunan sektor perniagaan tempatan melalui pewujudan persekitaran pasar yang lebih kondusif dan mesra pengguna.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa kerjasama erat antara KPDN dengan peniaga amat penting bagi memastikan kelima-lima elemen Pasar PATUH dapat dilaksanakan secara konsisten dan berkesan

Katanya, komitmen semua pihak diperlukan bagi memastikan inisiatif tersebut mencapai matlamat untuk melindungi kepentingan pengguna serta meningkatkan integriti dalam urusan perdagangan.

Turut hadir wakil Pegawai Daerah Limbang, Mariati Samat dan Ketua KPDN Bahagian Limbang, Mohd Hazwan Basrol.

Oleh Adeng Edrus

Warga media Sarawak hargai insentif RM700

KUCHING, 21 Oktober: Pengamal media di Sarawak menyifatkan pemberian insentif sekali bayar sebanyak RM700 menerusi Belanjawan Sarawak 2027 sebagai pengiktirafan