KGBS gesa tindakan tegas terhadap pihak serang guru

Facebook
WhatsApp
PRESIDEN Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS), Zulkiflee Sebli.

KUCHING, 21 Oktober: Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) menggesa tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang terbukti melakukan keganasan terhadap guru, tanpa mengira latar belakang atau kedudukan individu terbabit.

Presidennya, Zulkiflee Sebli berkata, tindakan berkenaan perlu dilaksanakan mengikut undang-undang dan prosedur yang berkuat kuasa susulan insiden seorang guru yang dilaporkan diserang di sebuah sekolah swasta di bandar raya ini pagi tadi.

Ketika dihubungi Utusan Sarawak hari ini, beliau turut menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh, profesional dan telus bagi mengenal pasti fakta sebenar serta memastikan keadilan kepada guru berkenaan.

“Guru tidak sepatutnya menjadi mangsa keganasan ketika menjalankan amanah mendidik anak bangsa,” katanya.

KGBS turut menegaskan bahawa kebebasan bersuara dan hak murid tidak boleh disalahertikan sebagai kebebasan untuk mengugut, menghina atau mencederakan guru.

Menurut kesatuan itu, sebarang perbezaan pendapat, teguran atau tindakan disiplin tidak boleh dijadikan alasan untuk melakukan serangan fizikal terhadap pendidik.

Sehubungan itu, pihak pengurusan sekolah, termasuk sekolah swasta, digesa menilai semula prosedur keselamatan dan pengurusan krisis di premis masing-masing.

KGBS berkata, langkah pencegahan, mekanisme pelaporan insiden, kawalan akses serta prosedur mendapatkan bantuan kecemasan perlu ditetapkan dengan jelas dan dilaksanakan secara berkesan bagi melindungi guru, murid serta seluruh warga sekolah.

Kesatuan itu turut mengingatkan bahawa usaha membentuk disiplin dan memupuk rasa hormat terhadap guru memerlukan kerjasama erat antara ibu bapa, pihak sekolah, masyarakat dan pihak berkuasa.

“Keselamatan guru mesti menjadi keutamaan dan profesion perguruan wajib dihormati,” tegasnya.

Oleh Shahrul Qaizat

Warga media Sarawak hargai insentif RM700

KUCHING, 21 Oktober: Pengamal media di Sarawak menyifatkan pemberian insentif sekali bayar sebanyak RM700 menerusi Belanjawan Sarawak 2027 sebagai pengiktirafan