PETRA JAYA, 21 Oktober: Di sebalik kesibukan dunia politik dan pentadbiran Sarawak, barisan kepimpinan negeri ini turut mempunyai sisi peribadi serta minat tersendiri yang jarang dikongsi kepada umum.
Daripada berkebun, membaca buku dan melancong hingga meluangkan masa bersama keluarga, pelbagai aktiviti menjadi pilihan mereka sekiranya diberi peluang berehat sehari daripada tanggungjawab rasmi.

Menariknya, berkebun menjadi antara aktiviti paling digemari, termasuk menanam bunga, sayur-sayuran, kelapa sawit dan getah, manakala ada yang memilih untuk menikmati masa bersama keluarga atau meneruskan minat dalam bidang akademik.
Ikuti temu bual santai wartawan Utusan Sarawak, bersama enam figura kepimpinan Sarawak bagi mengenali sisi mereka di luar urusan rasmi.
Utusan Sarawak (US): Jika diberi masa sehari berehat daripada tugas sekarang, apakah perkara yang ingin dilakukan?
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew:
“Pertama, saya mahu bertenang dan kedua, meluangkan lebih banyak masa bersama anak-anak serta cucu saya.
“Saya juga mahu bermain golf dan pergi melancong ke pulau-pulau,” katanya.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah:
“Saya mahu membaca kerana masih banyak buku yang belum sempat saya baca dan diselang-selikan dengan aktiviti berkebun.
“Berkebun itu terapi bagi saya, tetapi bukan kerja berkebun yang berat, sekadar menjaga kebun bunga,” katanya.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian:
“Saya mempunyai banyak perkara yang mahu dilakukan, tetapi saya gembira dengan apa yang saya lakukan sekarang,” katanya.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Ir Aidel Lariwoo:

“Kalau tidak bekerja, saya akan berkebun dan bercucuk tanam.”
Dato Sri Johnical Rayong Ngipa (GPS-Engkelili):
“Saya ingin menyumbang bakti dalam bidang akademik kerana baru sahaja menamatkan pengajian doktorat.
“Mungkin bukan sekarang, tetapi pada masa depan. Itu antara perancangan saya.
“Selain itu, saya juga suka menanam kelapa sawit dan getah, tetapi kalau menanam sayur, saya tidak pandai,” katanya.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Abu Bakar Marzuki:

“Saya mahu berkebun dan melancong, selain menanam kelapa, sayur-sayuran serta padi.”
Secara keseluruhannya, jawapan mereka memperlihatkan sisi santai barisan kepimpinan Sarawak yang turut mempunyai minat dan hobi tersendiri di luar tugas rasmi, dengan berkebun menjadi antara aktiviti paling banyak dipilih.
Oleh Masrin Affirah





