DUN: 39 jambatan luar bandar siap di bawah program RM400 juta

Facebook
WhatsApp
DATUK Amar Douglas Uggah Embas menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini. Foto Shikin Mahmud

PETRA JAYA, 21 Oktober: Sebanyak 39 daripada 135 jambatan di bawah Program Transformasi Jambatan Luar Bandar (RBTP) bernilai RM400 juta di Sarawak telah siap, manakala 31 lagi sedang dalam pembinaan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, sebanyak 17 jambatan lagi berada pada peringkat tender, sementara 48 jambatan masih dalam peringkat prakontrak.

“Kerajaan terus memperkukuh kesalinghubungan luar bandar menerusi RBTP dengan menaik taraf dan menggantikan jambatan kecil, khususnya di sepanjang bekas jalan pembalakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata, pelaksanaan program itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri meningkatkan kemudahan perhubungan di kawasan luar bandar.

Jambatan yang dinaik taraf atau diganti dijangka meningkatkan akses penduduk, khususnya komuniti yang bergantung pada laluan bekas jalan pembalakan bagi perjalanan harian dan aktiviti ekonomi.

Usaha itu turut penting dalam memperkukuh rangkaian jalan luar bandar, sekali gus memudahkan pergerakan penduduk serta akses kepada kemudahan dan perkhidmatan asas.

Oleh Adele Rissa