DUN: Penerokaan awal minyak Sarawak tumpu Balingian, Limbang, Marudi dan Niah

Facebook
WhatsApp
DATUK Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika menyampaikan ucapan penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 hari ini.

PETRA JAYA, 21 Oktober: Sarawak memperluas usaha penerokaan minyak daratan ke Balingian, Limbang, Marudi dan Niah susulan kejayaan medan minyak Adong Kechil West di Miri yang kini menghasilkan kira-kira 800 tong minyak sehari.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, usaha penerokaan di lokasi baharu itu akan memanfaatkan teknologi tinjauan graviti termaju bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai struktur geologi bawah permukaan.

Beliau berkata, kejayaan pengeluaran minyak pertama di Adong Kechil West pada Julai 2026 menerusi kerjasama Petroleum Sarawak Berhad (Petros) dan PETRA Energy Berhad menghidupkan semula pengeluaran petroleum daratan Sarawak selepas hampir 50 tahun.

“Pada masa ini, kemajuan teknologi geofizik dan pengimejan bawah permukaan memberi kita peluang untuk menilai semula potensi hidrokarbon daratan kita,” katanya ketika ucapan penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 hari ini. 

Abang Johari berkata, pengeluaran di Adong Kechil West, Blok SK433 di Miri, mencatatkan kira-kira 800 tong minyak sehari daripada satu telaga.

Beliau berkata, Sarawak kini membina momentum daripada kejayaan itu dengan meneroka potensi sumber petroleum daratan di lokasi lain.

Tumpuan awal di Balingian, Limbang, Marudi dan Niah merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh keselamatan tenaga negeri menerusi pembangunan sumber minyak dan gas daratan serta luar pesisir.

Dalam perkembangan berkaitan, Petros turut meneroka pembangunan bersepadu medan gas luar pesisir di perairan barat Sarawak, di luar pantai Kuching, bagi menyediakan sumber bekalan gas yang stabil untuk Hab Rendah Karbon Kuching.

Usaha itu dijangka membantu menarik industri dan pelaburan baharu, mewujudkan peluang dalam sektor hiliran serta memacu pertumbuhan ekonomi Sarawak.

Oleh Shahrul Qaizat