DUN: Lebih 3,400 pembeli rumah pertama manfaat bantuan RM10,000

Facebook
WhatsApp
PREMIER Sarawak menyampaikan ucapan penggulungan penggulungan Belanjawan Sarawak 2027 pada sidang DUN di Kompleks DUN, Petra Jaya.

PETRA JAYA, 21 OKTOBER: Lebih 3,400 pembeli rumah pertama di Sarawak telah menerima bantuan sebanyak RM10,000 menerusi Skim Bantuan Deposit dan Bayaran Balik Perumahan (HDRAS) yang dilaksanakan kerajaan Sarawak.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, skim berkenaan membantu golongan yang ingin memiliki rumah sendiri dengan menyediakan bantuan kewangan bagi pembelian rumah pertama.

“Kerajaan turut menyediakan Skim Bantuan Sewa Sarawak sebanyak RM200 sebulan bagi membantu keluarga menampung kos sewaan kediaman,” katanya.

MILIKI RUMAH…Abang Johari memaklumkan lebih 3,400 pembeli rumah pertama di Sarawak telah menerima bantuan RM10,000 menerusi Skim Bantuan Deposit dan Bayaran Balik Perumahan (HDRAS).

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada hari terakhir sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.

Abang Johari mengulas lanjut, antara penerima bantuan sewa berkenaan ialah Anuar Peli, seorang pemandu van dari Kota Samarahan yang mempunyai isteri dan enam anak.

“Bantuan itu dapat mengurangkan beban kewangan keluarga berkenaan dalam menampung kos tempat tinggal.

“Selain itu, Leong Soi Mei dari Sarikei juga antara penerima terbaharu HDRAS yang berjaya membeli rumah sendiri.

“Bantuan perumahan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan membantu rakyat menampung kos kediaman serta memiliki rumah sendiri,” jelasnya.

Untuk rekod, HDRAS pada asalnya diperkenalkan pada 2021 sebagai Skim Bantuan Deposit Perumahan (HDAS) bagi membantu golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) memiliki rumah pertama.

Skim itu kemudiannya ditambah baik pada 2022 dengan menyediakan bantuan bayaran balik pinjaman perumahan sebanyak RM200 sebulan sehingga 48 bulan, selain bantuan deposit sehingga RM10,000.

Pada 2025, kerajaan turut memperluaskan kelayakan HDRAS kepada pembelian rumah di pasaran terbuka dan rumah jualan semula yang berharga di bawah RM300,000.

Menerusi Belanjawan Sarawak 2027 yang dibentangkan sebelum ini, kerajaan turut mengumumkan penerusan bantuan RM10,000 di bawah HDRAS kepada isi rumah B40 dan M40 yang layak.

Oleh Masrin Affirah