SKUAD Sarawak United muncul dinobatkan sebagai naib juara Liga Premier 2021 apabila menamatkan saingan pada aksi terkahir dengan keputusan 1-1 menentang Johor Darul Ta’zim II (JDT II), malam semalam.
Piala Liga Premier yang menjadi rebutan tiga pasukan itu mendarat di Stadium Paroi, Negeri Sembilan setelah pasukan tuan rumah mencatatkan kemenangan 4-2 ke atas PDRM FC, sekali gus menyaksikan skuad kendalian K Devan dinobatkan selaku juara.
Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin, penjaring terbanyak Sarawak United, Uche Agba mencipta jaringan seawal minit keempat selepas beliau bijak memperdaya benteng pasukan tuan rumah dan merembat bola leret menewaskan penjaga gol, T Shaheeswaran.
Biarpun pasukan kendalian Rafael Sanchez mendominasi permainan, namun tidak ada satu pun serangan itu mampu menewaskan penjaga gawang Sarawak United, Shaiful Wazizi Mohammad yang bertindak cemerlang menggalas tugas daripada Mohd Sharbinee Allawee yang digantung perlawanan.
Pasukan tuan rumah mendapat peluang terbaik untul menjaringkan gol penyamaan menerusi rembatan deras Chia Ruo Han pada minit ke-32 di luar kotak penalti memaksa Shaiful Wazizi melayangkan badan untuk menepis bola keluar.
Percubaan demi percubaan yang dilakukan pemain JDT II, namun dinafikan Shaiful Wazizi untuk memastikan gawang Sarawak United tidak dibolosi.
Bersambung babak kedua, skuad kendalian E Elavarasan yang mendambakan kemenangan, bermula dengan garang sebaik sahaja wisel separuhasa kedua dibunyikan dengan serangan bertali arus ke atas kubu pasukan lawan.
Pada minit ke-55, skuad Kenyalang Emas hampir menambah jaringan menerusi pemain sayapnya, Nor Shamie Iszuan Amin yang berjaya menggelecek benteng pasukan tuan rumah namun merembat bola melewati palang gol.
Walaupun pasukan tuan rumah mengasak bertubi-tubi untuk mencari gol penyamaan namun corak permainan ‘berkampung’ pasukan Sarawak United menyukarkan barisan serangan JDT II yang diterajui Fernando Rodriguez untuk melakukan percubaan berbahaya.
Pergerakan Fernando Rodriguez yang membawa misi memburu kasut emas Liga Perdana musim ini agak terbatas setelah dirantai kapten pasukan lawan, Taylor Regan sepanjang perlawanan.
Setelah mempamerkan aksi yang memberangsangkan, gawang yang dikawal ketat Shaiful Wazizi akhirnya bolos pada minit ke-82 hasil jaringan pemain gantian, Stuart Wilkin bagi menyamakan kedudukan dan kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Skuad Sarawak United yang muncul naib juara liga selepas mengumpul 38 mata akan beraksi di Kumpulan A dalam saingan Piala Malaysia bersama Penang FC, KL City FC dan Sri Pahang FC yang memulakan saingan pada 26 September ini.
Turut hadir menyaksikan perlawanan tersebut ialah Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan dan Pengarah Teknikal Sarawak United, B. Sathianathan.