PETRA JAYA, 21 Oktober: Pengalaman luas dalam industri penerbangan menjadi antara asas pemilihan Cempaka Helicopter Corporation Sdn Bhd sebagai pihak yang memajakkan pesawat Falcon 8X kepada Hornbill Skyways.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Cempaka merupakan syarikat bersekutu AIROD, yang mempunyai pengalaman luas dalam penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat, selain perkhidmatan pengendalian lapangan terbang dan hangar.
“AIROD juga mempunyai pengalaman mengendalikan dan menyokong operasi pesawat kenamaan, termasuk pesawat yang digunakan Kerajaan Persekutuan Malaysia, selain menyediakan perkhidmatan sokongan penerbangan kepada syarikat penerbangan utama dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu III berkata, pemilihan Cempaka dibuat berdasarkan latar belakang dan pengalamannya dalam industri penerbangan.
Menurutnya, pelantikan syarikat itu turut dilaksanakan mengikut proses perolehan, tadbir urus dan usaha wajar yang ditetapkan Hornbill Skyways.
Isu pajakan pesawat Falcon 8X sebelum ini dibangkitkan ADUN Padungan, Chong Chieng Jen, yang mempersoalkan perjanjian pajakan pesawat berkenaan yang didakwa bernilai AS$71.7 juta.
Chong turut membangkitkan persoalan mengenai kewajaran nilai pajakan, proses pemilihan syarikat serta penilaian yang dijalankan sebelum perjanjian itu dimeterai, termasuk sama ada pilihan untuk membeli pesawat berkenaan turut dipertimbangkan.
Penjelasan Uggah itu memberikan gambaran mengenai asas pemilihan Cempaka, khususnya berdasarkan pengalaman teknikal dan sokongan penerbangan yang dimiliki kumpulan syarikat berkenaan.
Oleh Adele Rissa



