DUN: Lebih 110,000 ibu terima bantuan RM450, 159,000 anak manfaat dana endowmen

Facebook
WhatsApp
DATUK Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika menyampaikan ucapan penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 hari ini.

PETRA JAYA, 21 Oktober: Jumlah kanak-kanak Sarawak yang mempunyai akaun Dana Endowmen Sarawak (EFS) kini mencecah 159,000 orang, manakala lebih 110,000 ibu telah menerima Bantuan Ibu Bersalin (BIB) sebanyak RM450.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kedua-dua inisiatif itu merupakan antara bantuan yang disediakan kerajaan Sarawak bagi menyokong keperluan ibu dan anak sejak kelahiran.

Menurutnya, setiap anak Sarawak menerima simpanan permulaan RM1,000 menerusi EFS yang boleh digunakan apabila mencapai usia 18 tahun untuk melanjutkan pelajaran atau memulakan perniagaan kecil.

PENERIMA Bantuan Ibu Bersalin (BIB) Sylvia Jiau dari Kampung Semadang, Padawan yang mempunyai bayi lelaki berusia lapan bulan.

“Bagi ibu pula, bantuan tunai RM450 disediakan untuk menampung keperluan selepas bersalin termasuk penjagaan kesihatan dan pemakanan sepanjang tempoh berpantang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Belanjawan Sarawak 2027 pada hari terakhir Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Beliau mengulas lanjut, antara penerima bantuan berkenaan ialah Sylvia Jiau dari Kampung Semadang, Padawan yang mempunyai bayi lelaki berusia lapan bulan.

“Sylvia merupakan antara lebih 110,000 ibu yang menerima BIB, manakala anaknya turut mempunyai akaun EFS bagi kegunaan masa depan.

“Kedua-dua bantuan itu disediakan kepada keluarga Sarawak tanpa mengira kaum, agama atau tahap pendapatan, termasuk mereka yang tinggal di kawasan luar bandar,” jelasnya.

Untuk rekod, jumlah penerima EFS meningkat berbanding 141,869 kanak-kanak yang direkodkan pada November 2025, manakala BIB ketika itu telah memanfaatkan 90,504 ibu sejak diperkenalkan pada 2020.

Dalam Belanjawan Sarawak 2027 yang dibentangkan pada 12 Oktober lalu, kerajaan turut memperuntukkan RM15 juta bagi meneruskan EFS dan RM5 juta untuk pelaksanaan BIB.

Oleh Masrin Affirah