PETRA JAYA, 21 Oktober: Sarawak menyasarkan tiga syarikat Bumiputera disenaraikan di Bursa Malaysia menjelang 2030 menerusi Kerangka Bumiputera Sarawak 3-7-20 bagi memperkukuh penyertaan golongan itu dalam sektor perniagaan bernilai tinggi.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata kerangka berkenaan turut menyasarkan pembentukan tujuh juara perniagaan serantau Bumiputera serta transformasi 20 peratus perusahaan mikro Bumiputera menjadi syarikat sendirian berhad dalam tempoh yang sama.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak berkata, tumpuan khusus akan diberikan kepada pembangunan perusahaan Bumiputera yang berdaya saing bagi membolehkan lebih banyak perniagaan berkembang daripada skala mikro dan kecil kepada sektor industri bernilai tinggi serta menembusi pasaran serantau.

Katanya, perkembangan menggalakkan telah dicapai apabila sembilan syarikat Bumiputera di Sarawak dikenal pasti mempunyai potensi untuk disenaraikan di Bursa Malaysia.
United Asiapac Energy Berhad turut mencatat pencapaian penting apabila disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 14 September 2026.
Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak 22 syarikat berprestasi tinggi yang mencatatkan perolehan tahunan melebihi RM10 juta turut dikenal pasti untuk dibangunkan dari segi keupayaan perniagaan, peluasan pasaran dan penyertaan dalam industri bernilai tinggi.
Awang Tengah berkata demikian ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, hari ini.
Oleh Afiq Sallehi





