DUN: 15 syarikat berminat bina kilang di Kuching Furniture Park

Facebook
WhatsApp
DATUK Amar Awang Tengah Ali Hasan (tengah) hadir pada sidang DUN di Kompleks DUN, Petra Jaya.

PETRA JAYA, 21 Oktober: Sebanyak 15 syarikat telah menyatakan minat untuk membangunkan kilang di Kuching Furniture Park yang bakal dibangunkan di Demak Laut, Kuching.

Menurut Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, projek pembangunan industri perabot bernilai RM233 juta itu melibatkan kawasan seluas 50 hektar dan akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).

“Projek berkenaan bertujuan menarik pelaburan dalam industri pembuatan perabot serta menggalakkan penghasilan produk bernilai tambah di Sarawak.

“Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) kini sedang melaksanakan kerja pengukuran tanah dan topografi bagi membolehkan pelan pembangunan terperinci disediakan.

“Kerja-kerja ukur tanah dan pengukuran topografi sedang dijalankan dan dijangka siap pada 30 Januari 2027 bagi tujuan penyediaan pelan pembangunan terperinci kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Beliau mengulas lanjut, PUSAKA turut giat menjalankan usaha promosi bagi menarik lebih banyak pelaburan ke kawasan pembangunan industri berkenaan.

“Setakat ini, sebanyak 15 syarikat telah mendaftarkan minat untuk membangunkan kilang melalui proses pendaftaran minat atau Registration of Intent (ROI).

“Pembangunan Kuching Furniture Park merupakan antara usaha kerajaan negeri untuk memperkukuh industri perkayuan, khususnya dalam sektor pembuatan perabot,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Sarawak turut memberi tumpuan kepada pembangunan industri hiliran perkayuan, termasuk produk perabot, biojisim, kayu kejuruteraan dan buluh.

“Usaha berkenaan bertujuan mempelbagaikan produk eksport serta meningkatkan sumbangan industri perkayuan kepada pertumbuhan ekonomi Sarawak,” ujarnya.

Untuk rekod, nilai eksport produk perabot Sarawak meningkat daripada RM47.7 juta pada 2021 kepada RM59 juta pada 2024.

Oleh Masrin Affirah