DUN: 66 rumah panjang terima kelulusan pinjaman RM61.38 juta

Facebook
WhatsApp
DATUK Amar Dr. Sim Kui Hian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini. Foto Japen

PETRA JAYA, 20 Oktober: Sebanyak 66 rumah panjang melibatkan 1,310 pintu diluluskan untuk pelaksanaan di bawah Skim Pinjaman Perumahan Rumah Panjang kerajaan Sarawak tahun ini, dengan nilai pinjaman berjumlah RM61.38 juta.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, skim pinjaman tanpa faedah itu merupakan antara inisiatif kerajaan negeri untuk membantu penduduk rumah panjang mendapatkan pembiayaan bagi keperluan perumahan mereka.

“Sejak 2020 hingga kini, sejumlah RM317.44 juta telah disalurkan oleh kerajaan negeri menerusi skim berkenaan, sekali gus memberi manfaat kepada 443 rumah panjang yang merangkumi 9,023 pintu.

“Sejak tahun 2020 hingga kini, sejumlah RM317.44 juta telah disalurkan di bawah Skim Pinjaman Perumahan Rumah Panjang, yang merupakan pinjaman tanpa faedah dan memberi manfaat kepada 443 rumah panjang melibatkan 9,023 pintu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, malam ini.

Beliau yang Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, berkata, bagi tahun ini, jawatankuasa yang bertanggungjawab meluluskan permohonan skim berkenaan telah meluluskan pelaksanaan 66 rumah panjang melibatkan 1,310 pintu dengan nilai pinjaman RM61.38 juta.

Dalam pada itu, di bawah peruntukan Kerajaan Persekutuan, sebanyak RM204.59 juta telah disalurkan sejak 1978, memberi manfaat kepada 820 rumah panjang yang merangkumi 17,845 pintu.

Bagi 2026, pelaksanaan skim di bawah peruntukan Kerajaan Persekutuan turut diluluskan untuk 24 rumah panjang melibatkan 428 pintu, dengan jumlah peruntukan RM18.74 juta.

Peruntukan berkenaan mencerminkan pelaksanaan skim pembiayaan rumah panjang melalui kedua-dua peringkat kerajaan bagi membantu penduduk mendapatkan kemudahan perumahan.

Oleh Adele Rissa