PETRA JAYA, 20 Oktober: Projek Hospital Petra Jaya mencatatkan kemajuan fizikal 91.02 peratus setakat 25 September lalu dan dijadualkan siap pada 14 Disember 2026 selepas tarikh penyiapannya disemak susulan lanjutan masa ketujuh.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, berkata kontraktor kini sedang menyelesaikan kerja-kerja kemasan dalaman sebagai persediaan untuk pemasangan peralatan perubatan.
Beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Hospital Lawas baharu mula beroperasi pada 7 September lalu selepas blok klinikalnya siap sepenuhnya, berdasarkan status projek setakat 30 September 2026.
Sementara itu, dua klinik kesihatan baharu, iaitu Klinik Kesihatan (KK) Nanga Atoi di Saratok dan KK Nanga Ngungun di Kanowit, diluluskan di bawah inisiatif Projek Rintis dengan anggaran kos keseluruhan RM12.8 juta.
KK Nanga Ngungun dijangka diserahkan sebelum akhir tahun ini, manakala KK Tabuan Jaya telah mula beroperasi pada 19 Julai lalu. KK Lawas pula berada dalam fasa akhir dan dijangka mula beroperasi pada suku keempat tahun ini.
Bagi usaha menaik taraf kemudahan kesihatan daif, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM50 juta untuk enam projek di Sarawak.
Daripada jumlah itu, tiga projek sedang dalam penilaian tender, iaitu KK Tepus di Selangau, KK Tanjung Bijat di Sri Aman dan KK Tun Abang Haji Openg di Subis. Surat Setuju Terima bagi ketiga-tiga projek itu dijangka dikeluarkan dalam masa terdekat.
Surat Setuju Terima bagi dua lagi projek telah dikeluarkan. Projek berkenaan ialah pembinaan wad pengasingan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Umum Sarawak, yang bermula pada 28 September lalu dan dijangka siap dalam tempoh 13 bulan, serta pembinaan KK Kuala Lawas yang bermula pada 20 Julai lalu dan dijangka siap dalam tempoh 18 bulan.
Bagi KK Kedup di Serian, proses tender akan dimulakan selepas Notis Perubahan diluluskan dan dikeluarkan.
Selain itu, Kementerian Kesihatan Malaysia memperuntukkan kira-kira RM9.35 juta pada tahun ini bagi kerja menaik taraf, pengubahsuaian dan pembaikan di 29 klinik kesihatan serta sebuah Pejabat Kesihatan Daerah di Sarawak.
Sebanyak RM2.4 juta lagi diperuntukkan untuk kerja pembaikan dan naik taraf 14 kuarters serta lapan unit berek di KK Bario, KK Nanga Mujong di Kapit dan KK Belawai di Tanjung Manis. Semua projek berkenaan sedang dilaksanakan dan dijangka siap sebelum akhir tahun ini.
Dalam aspek pendigitalan, sebanyak 175 klinik di Sarawak, bersamaan 64.8 peratus daripada keseluruhan fasiliti penjagaan kesihatan primer, telah didigitalkan.
Daripada jumlah itu, 154 klinik menggunakan Sistem Pengurusan Klinik Berasaskan Awan (CCMS). Sebanyak 142 daripada klinik tersebut menerima manfaat daripada pelaburan RM10 juta kerajaan Sarawak bagi menaik taraf perkakasan teknologi maklumat dan infrastruktur digital, khususnya di kawasan luar bandar serta pedalaman.
Sim berkata Sarawak berharap mendapat bahagian yang sewajarnya daripada peruntukan pendigitalan berjumlah RM1 bilion dalam Belanjawan 2027 bagi memperluas penggunaan teknologi digital dalam perkhidmatan kesihatan.
Oleh Afiq Sallehi




