FIFA gantung tiga anggota skuad Mesir susulan insiden perlawanan Piala Dunia

Facebook
WhatsApp
HASSAN membantah keputusan pengadil ketika aksi perlawanan menentang Argentina pada Piala Dunia yang lalu. - Foto AFP

BERLIN, 20 Oktober: Pemain tengah Mesir Mostafa Ziko digantung lima perlawanan  manakala Ketua Jurulatih Hossam Hassan digantung tiga perlawanan susulan insiden selepas Mesir tersingkir daripada Piala Dunia kepada Argentina, menurut Persatuan Bola Sepak Mesir, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Dalam satu kenyataan, persatuan itu memaklumkan bahawa pengurus pasukan Ibrahim Hassan turut digantung tiga perlawanan oleh badan induk bola sepak dunia, FIFA sementara Mesir merancang untuk mengemukakan rayuan terhadap hukuman berkenaan.

Ketegangan memuncak selepas wisel penamat perlawanan pusingan 16 pada 7 Julai, apabila kem Mesir berang dengan keputusan pengadil dari Perancis, François Letexier, serta pembantunya.

Mesir mengemukakan aduan rasmi kepada FIFA berhubung mutu pengadilan sehari selepas perlawanan itu dan mahu Letexier digantung daripada mengadili baki kejohanan.

Aduan utama mereka ialah sebelum gol kemenangan Argentina 3-2 yang dijaringkan Enzo Fernandez pada masa kecederaan, pemain Argentina Alexis Mac Allister menjatuhkan Hamdi Fathi di dalam kotak penalti di hujung padang bertentangan, namun Letexier tidak menghadiahkan sepakan penalti.

Gol Ziko pula dibatalkan kerana kekasaran dalam gerakan serangan, yang sekiranya dikira sah akan memberikan Mesir kelebihan 3-0. – Bernama