KUCHING, 20 Oktober: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun dan merampas dadah disyaki ganja seberat 1.53 kilogram (kg) dalam satu operasi di Jalan Samariang, Petra Jaya, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, suspek ditahan di hadapan sebuah rumah sekitar 12.10 tengah hari oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang daripada 12 kali.
Pemeriksaan terhadap suspek menemukan dadah disyaki ganja seberat 1,530 gram yang dianggarkan bernilai RM4,500 di pasaran.
Polis turut menyita sebuah kereta Perodua Alza yang dianggarkan bernilai RM23,000 kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kegiatan pengedaran dadah.
Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine dan tetrahydrocannabinol (THC).
Semakan rekod mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Alexson berkata, suspek direman selama tujuh hari, bermula 21 hingga 27 Oktober, bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, kejayaan tangkapan dan rampasan itu adalah hasil risikan berterusan serta kerjasama orang awam.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah. Beliau turut menegaskan bahawa pemilikan atau pengedaran dadah serta perbuatan melindungi kegiatan berkaitan dadah merupakan kesalahan serius di sisi undang-undang.
Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik akan terus komited memerangi dadah demi melindungi generasi masa kini dan akan datang, katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan dadah boleh menghubungi talian hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di 012-208 7222 atau talian hotline narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di 017-592 9211.
Oleh Connie Chieng





