KUCHING, 20 Oktober: Pusat Kanser Sarawak yang berkapasiti 310 katil dan menelan kos melebihi RM1.5 bilion dijangka siap pada 2032, sekali gus memperkukuh keupayaan negeri menyediakan rawatan kanser yang menyeluruh dan khusus.
Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, berkata projek berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan dan kini berada pada peringkat perolehan tender oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
Menurut beliau, projek itu berjalan mengikut jadual, dengan kontrak dijangka dianugerahkan melalui pengeluaran Surat Setuju Terima (SST) pada suku pertama 2027.
Beliau berkata tempoh pelaksanaan projek itu ialah lima tahun dan pusat berkenaan dijadualkan siap pada 2032.
“Memetik ucapan Belanjawan Sarawak 2027 Premier Sarawak, sejumlah RM20 juta akan diperuntukkan pada tahun hadapan bagi melaksanakan projek Pusat Kanser Sarawak,” katanya.

Dari segi pembiayaan, kerajaan Sarawak akan menyumbang RM500 juta, manakala RM1 bilion lagi akan diperoleh melalui pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan.
Beliau menjelaskan bahawa kerajaan Sarawak turut melaksanakan proses perolehan peralatan G1, G3 dan G4 bagi projek berkenaan bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada hari ketujuh Persidangan Mesyuarat Kedua bagi Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di Kompleks DUN, hari ini.
Tambah beliau, pembangunan pusat berkenaan penting memandangkan kanser merupakan penyebab beban penyakit kedua tertinggi di Sarawak selepas penyakit jantung.
Kemudahan baharu itu dijangka meningkatkan keupayaan negeri menyediakan rawatan kanser yang lebih menyeluruh dan khusus kepada pesakit.
Oleh Norman B





