Berang isu tanah pusaka, lelaki 39 tahun ditahan ugut bunuh bapa di Saratok

Facebook
WhatsApp
SEORANG lelaki tempatan berusia 39 tahun ditahan polis selepas dipercayai mengamuk, cuba memukul bapanya menggunakan kayu dan mengugut mahu membunuh mangsa di sebuah rumah panjang di Awik. Foto: Ai

SARATOK, 20 Oktober: Berang akibat tidak berpuas hati dengan pembahagian tanah pusaka keluarga, seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun ditahan polis selepas dipercayai mengamuk, cuba memukul bapanya menggunakan kayu dan mengugut mahu membunuh mangsa di sebuah rumah panjang di Awik, semalam.

Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggier berkata, kejadian berlaku sekitar 3.30 petang ketika suspek terlibat dalam perbincangan bersama ibu bapanya berhubung pembahagian tanah pusaka keluarga di Ulu Awik.

Menurutnya, suspek dipercayai bertindak agresif sebelum mengambil sebatang kayu panjang dan cuba menyerang bapanya, selain mengeluarkan kata-kata ugutan mahu membunuh mangsa.

“Suspek turut mengaku cuba menyerang pengadu menggunakan kayu panjang ketika kejadian. Insiden itu turut disaksikan oleh isteri pengadu yang juga ibu kepada suspek,” katanya dalam satu kenyataan.

DSP Mathew berkata, mangsa yang berasa takut dengan tindakan suspek kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Saratok bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.

Susulan laporan itu, sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok yang diketuai Inspektor Henry Muji daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) telah menahan suspek di hadapan sebuah rumah di Awik pada hari sama.

Pemeriksaan ujian air kencing terhadap suspek didapati positif amphetamine (AMPT) dan methamphetamine (METH).

Siasatan awal mendapati perselisihan faham berkaitan pembahagian tanah pusaka keluarga menjadi punca kejadian berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan berkaitan ugutan jenayah.

Polis mengesahkan suspek telah ditangkap bagi membantu siasatan lanjut.

Oleh Adi Safarman

Buruh ditahan miliki syabu di Selangau

SELANGAU, 20 Oktober: Polis menahan seorang lelaki tempatan berumur 26 tahun serta merampas dadah disyaki jenis syabu, semalam. Ketua Polis