PETRA JAYA, 20 Oktober: Isu baik pulih jalan raya dan cadangan pembinaan pusat aktiviti kemasyarakatan serta kebudayaan untuk komuniti Kajang antara perkara yang dibangkitkan dalam kunjungan hormat Persatuan Komuniti Etnik Kajang Sarawak (PKEKS) kepada Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, hari ini.
Kunjungan yang berlangsung di pejabat beliau di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak itu diadakan bersempena hari ketujuh Mesyuarat Kedua bagi Penggal Kelima Persidangan DUN Sarawak Ke-19.
Delegasi PKEKS diketuai Penasihat persatuan, Temenggong Ajang Sirek, dan turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga, Datuk Liwan Lagang.
Turut hadir ialah Pengerusi PKEKS Asan Saget, Penasihat Abd. Halim Abdullah, Timbalan Pengerusi Kuba Lusat, Setiausaha Erick Drenner Dangan serta Bendahari Bilong Siting.
Selain membincangkan permohonan baik pulih jalan raya dan cadangan pembinaan pusat aktiviti komuniti, pertemuan itu turut menyentuh aktiviti persatuan sepanjang 2026 serta aspek pengurusan organisasi.
Pusat aktiviti kemasyarakatan dan kebudayaan yang dicadangkan itu berpotensi menjadi ruang bagi menghimpunkan komuniti Kajang serta melaksanakan pelbagai program sosial, kebudayaan dan pembangunan masyarakat.
PKEKS terus berusaha menyatukan dan memperkasakan komuniti Kajang menerusi pelbagai inisiatif yang merangkumi kebajikan, pendidikan, pembangunan belia, sukan dan pemeliharaan kebudayaan.
Usaha itu mencerminkan komitmen persatuan untuk memelihara identiti budaya komuniti Kajang, di samping memperkukuh perpaduan dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat.
Kunjungan berkenaan turut menjadi platform bagi persatuan menyampaikan aspirasi komuniti serta membincangkan keperluan pembangunan yang dapat memberikan manfaat kepada masyarakat Kajang di Sarawak.
Oleh Adi Safarman





