4,000 benih siakap dilepaskan, usaha pulihara ekosistem marin Sematan

Facebook
WhatsApp
SEBANYAK 4,000 benih ikan siakap dilepaskan ke perairan Teluk Melano, Sematan. Foto Jabatan Perikanan Laut Sarawak

SEMATAN, 20 Oktober: Sebanyak 4,000 benih ikan siakap dilepaskan ke perairan Teluk Melano, Sematan, sebagai usaha memulihara sumber perikanan dan memastikan kelestarian ekosistem marin.

Menurut kenyataan Jabatan Perikanan Laut, program itu dilaksanakan menerusi Pendekatan Ekosistem dalam Pengurusan Perikanan (EAFM), baru-baru ini.

Majlis pelepasan benih ikan itu disempurnakan oleh Pengarah Kanan Jabatan Perikanan Laut, Abdul Rahman Abdul Wahab, bersama komuniti nelayan dan penduduk setempat.

Inisiatif berkenaan bertujuan membantu memulihkan sumber perikanan serta mengekalkan keseimbangan ekosistem marin demi kelangsungan industri perikanan dan manfaat generasi akan datang.

Program itu turut merangkumi aktiviti pembersihan pantai di sekitar Teluk Melano yang melibatkan komuniti nelayan, penduduk setempat serta pegawai dan kakitangan jabatan berkenaan.

Aktiviti itu bukan sahaja meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga kebersihan pantai, malah menggalakkan penglibatan masyarakat dalam melindungi alam sekitar dan memelihara habitat hidupan marin.

Inisiatif bersepadu itu mencerminkan kepentingan kerjasama antara agensi kerajaan dengan komuniti setempat dalam memulihara sumber perikanan serta memastikan ekosistem marin kekal bersih dan lestari.

Turut hadir ialah Ketua Wilayah Perikanan Santubong Jackson Clive Jusak, Ketua Cawangan Pengembangan Perikanan Fairol Tajuddin, Ketua Daerah Perikanan Sematan serta pegawai dan kakitangan jabatan dari Sematan dan wilayah berkenaan.

Oleh Adi Safarman