PETRA JAYA, 20 Oktober: Atlet Sukan Malaysia (Sukma) dan Para Sukma Sarawak yang memenangi pingat akan menerima kadar insentif yang sama, dengan pembayaran ganjaran berkenaan disasarkan sebelum penghujung tahun ini.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kadar insentif itu dikekalkan seperti yang ditetapkan pada edisi temasya terdahulu di Kuching.
Beliau berkata, kerajaan negeri berharap proses pembayaran dapat diselesaikan secepat mungkin, dengan November menjadi sasaran utama.
“Kita berharap proses pengagihan ganjaran ini dapat diselesaikan secepat mungkin sebelum penghujung tahun ini, jika boleh pada November, memandangkan kita kini sudah berada di penghujung Oktober,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya di Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Menurut Abdul Karim, atlet yang memenangi pingat emas dalam acara individu akan menerima RM15,000, manakala pemenang pingat perak menerima RM10,000 dan gangsa RM5,000.
Bagi acara berpasukan, pengiraan insentif akan dibuat berdasarkan formula khas yang digunakan pada temasya terdahulu.
Beliau turut memaklumkan bahawa ganjaran tambahan akan diberikan kepada atlet yang berjaya memecahkan rekod kejohanan, dengan jumlah keseluruhan peruntukan insentif dianggarkan melebihi RM1 juta.
Abdul Karim berkata, penyamaan kadar insentif bagi atlet Sukma dan Para Sukma dipersetujui bersama Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, sebagai pengiktirafan terhadap usaha dan pengorbanan semua atlet.
Pada temasya Sukma Selangor 2026 yang berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos lalu, Sarawak menduduki tempat keempat keseluruhan selepas mengumpul 41 pingat emas, 40 perak dan 62 gangsa.
Oleh Shikin Mahmud





