KUCHING, 20 Oktober: Kolej Universiti i-CATS kini mendapat pengiktirafan sebagai universiti penuh, dengan nama baharunya dijangka diumumkan secara rasmi oleh kerajaan Sarawak dalam masa terdekat.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, kelulusan menaik taraf status institusi pengajian tinggi milik Sarawak itu telah berkuat kuasa.
“Pengiktirafan tersebut membuka ruang kepada i-CATS untuk memperluas penawaran program akademik, khususnya dalam bidang strategik yang memenuhi keperluan industri dan pembangunan modal insan negeri.
“Perkara itu juga akan diselaraskan bersama Kementerian Pendidikan Tinggi, khususnya Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), bagi memastikan segala perancangan yang dibuat oleh pihak universiti dapat diselaraskan dan kelulusan yang diperlukan dapat diberikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sempena penyerahan surat pengiktirafan status universiti penuh i-CATS, di sini hari ini.

Zambry berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus memberikan sokongan kepada universiti berkenaan dalam usaha memperluas program akademik mengikut keperluan pembangunan Sarawak.
Katanya, proses permohonan dan kelulusan program baharu juga akan dipercepatkan bagi memastikan institusi pengajian tinggi negeri dapat memenuhi keperluan tenaga profesional.
“Cuma di peringkat universiti juga, dalam usaha mereka untuk mengembangkan lagi kursus-kursus mereka, prosesnya memang ada, tetapi saya beri keyakinan kepada pihak berkuasa negeri, ia tidak akan terlalu lama.
“Kita akan proses secepat mungkin kerana kita tahu ini adalah keperluan negeri,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) sebelum ini telah mendapat kelulusan menawarkan program undang-undang bagi memenuhi keperluan tenaga profesional dalam bidang perundangan di Sarawak dan Sabah.
Oleh Masrin Affirah




