Pusat urut disyaki tawar khidmat pelacuran, enam ditahan

Facebook
WhatsApp
OP NODA… Enam individu, termasuk lima warga asing, ditahan polis dalam serbuan di sebuah pusat urut yang disyaki menjalankan kegiatan pelacuran di Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuching, semalam.

KUCHING, 20 Oktober: Polis menahan enam individu, termasuk lima warga asing, yang disyaki terlibat dalam kegiatan pelacuran dan kesalahan imigresen menerusi serbuan Op Noda di sebuah pusat urut di Jalan Tunku Abdul Rahman, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, serbuan kira-kira 12.55 tengah hari itu dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota Cawangan D7, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.

Menurutnya, individu yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki tempatan dan lima warga asing berusia antara 26 hingga 49 tahun.

“Polis turut merampas beberapa barangan bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati premis berkenaan dipercayai menjalankan kegiatan pelacuran melibatkan warga asing dengan bayaran RM50 bagi setiap perkhidmatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun, sebatan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana kesalahan tinggal lebih masa di Malaysia.

Kesalahan tersebut memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM10,000, penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Alexson menegaskan bahawa pihak polis akan terus mempergiat operasi bagi membanteras kegiatan tidak bermoral dan menyalahi undang-undang demi memelihara ketenteraman serta keselamatan awam.

Oleh Connie Chieng

Buruh ditahan miliki syabu di Selangau

SELANGAU, 20 Oktober: Polis menahan seorang lelaki tempatan berumur 26 tahun serta merampas dadah disyaki jenis syabu, semalam. Ketua Polis