Lelaki, bayi enam bulan selamat dalam kemalangan di Bintulu

Facebook
WhatsApp
SEBUAH kereta Perodua Axia berwarna putih terlibat dalam kemalangan jalan raya kendiri di Taman Tinggi, Bintulu, malam tadi. Foto JPBM Sarawak

BINTULU, 20 Oktober: Seorang lelaki dan bayi berusia enam bulan selamat dalam kemalangan jalan raya kendiri di Taman Tinggi di sini, malam tadi.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 9.53 malam dan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu tiba di lokasi pada 10.05 malam.

Kemalangan itu melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Axia berwarna putih.

DUA SELAMAT… Keadaan kereta Perodua Axia yang terlibat dalam kemalangan kendiri membabitkan seorang lelaki dan bayi berusia enam bulan di Taman Tinggi, Bintulu.

“Kedua-dua mangsa telah dibawa keluar oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba dan dilaporkan tidak mengalami kecederaan.

“Bagaimanapun, bayi berkenaan dibawa oleh pihak keluarga ke hospital untuk pemeriksaan perubatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Pasukan bomba menjalankan kerja-kerja pembersihan sisa kemalangan sebelum operasi ditamatkan pada 10.28 malam selepas keadaan di lokasi disahkan selamat dan terkawal.

Oleh Carolyne Utih