PETRA JAYA, 19 Oktober: Sebanyak 15 jawatan Majistret Mahkamah Bumiputera Sarawak masih kosong ketika ini, sekali gus menjadi kekangan dalam usaha mempercepat penyelesaian kes tertunggak.

Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, kekurangan Majistret itu turut menjejaskan kelancaran pengendalian kes di Mahkamah Bumiputera Sarawak.
Menurutnya, tempoh kontrak pelantikan Majistret selama satu tahun menjadi antara faktor yang menyukarkan usaha menarik calon berkelayakan untuk mengisi kekosongan berkenaan.
“Kalau satu tahun, siapa mahu bekerja satu tahun? Tahun berikutnya mereka tidak tahu bagaimana masa depan mereka.
“Sebab itu saya mencadangkan supaya tempoh pelantikan Majistret baharu, khususnya Majistret Mahkamah Bumiputera Residen dan Daerah, dilanjutkan kepada sekurang-kurangnya tiga tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.
Beliau mengulas lanjut, cadangan itu bertujuan menarik lebih ramai calon yang mempunyai kelulusan dalam bidang undang-undang serta pengalaman bersesuaian untuk berkhidmat sebagai Majistret.
“Kontrak selama tiga tahun yang boleh diperbaharui juga dapat memberikan kepastian pekerjaan kepada calon berbanding tempoh pelantikan setahun ketika ini.
“Kalau kita dapat Majistret yang mencukupi, kita berharap kes-kes ini dapat diselesaikan dengan secepat mungkin,” jelasnya.
Untuk rekod, sebanyak 7,326 kes didaftarkan di Mahkamah Bumiputera Sarawak sejak 2020 hingga September 2026, dengan 4,961 kes atau 67 peratus telah diselesaikan.
Ini bermakna sebanyak 2,365 kes masih belum diselesaikan dalam tempoh berkenaan.
Pada masa ini, Mahkamah Bumiputera Sarawak mempunyai empat Majistret Mahkamah Bumiputera Daerah, dua Majistret Mahkamah Bumiputera Residen dan seorang Presiden Mahkamah Rayuan Bumiputera.
Daripada 15 kekosongan jawatan tersebut, tujuh melibatkan Majistret Mahkamah Bumiputera Residen manakala lapan lagi Majistret Mahkamah Bumiputera Daerah.
Lapan Majistret Mahkamah Bumiputera Daerah telah tamat perkhidmatan pada akhir 2024 selepas kontrak mereka tidak diperbaharui atas faktor usia atau kesihatan.
Oleh Masrin Affirah


