MARUDI,19 Oktober: Projek pembinaan jalan baharu Miri–Marudi sepanjang 42 kilometer yang kini mencapai kemajuan fizikal 33 peratus dijangka menjadi pemangkin utama pembangunan ekonomi dan meningkatkan jaringan perhubungan di kawasan pedalaman Baram.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datuk Dr Penguang Manggil berkata, pembangunan infrastruktur itu bukan sahaja memudahkan pergerakan penduduk, malah membuka peluang ekonomi lebih luas kepada usahawan tempatan, khususnya Bumiputera.
Menurutnya, Marudi mempunyai potensi besar dalam bidang keusahawanan dan peningkatan jaringan jalan raya dijangka merancakkan lagi kegiatan ekonomi masyarakat setempat.
Beliau turut mengiktiraf peranan aktif Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Cawangan Marudi yang disifatkan sebagai antara cawangan paling progresif di Sarawak.
Projek jalan baharu berkenaan dijangka memendekkan masa perjalanan dari Miri ke Marudi kepada kira-kira 30 minit apabila siap kelak.

Jalan itu akan dibina mengikut spesifikasi standard R5 dan dilengkapi kemudahan bahu jalan untuk kegunaan kecemasan.
Pembinaan laluan tersebut bermula dari simpang lampu isyarat berhampiran Eastwood Valley, Miri, dengan anggaran kos keseluruhan RM800 juta.
Penguang berkata, kerja pembinaan fasa pertama melibatkan laluan Miri–Marudi dan Long Panai–Long Lama sepanjang 26 kilometer akan dilaksanakan oleh Pekerjaan Piasau Konkerit (PKK) Sdn Bhd, syarikat di bawah Shin Yang.
Sementara itu, laluan Marudi–Kuala Melinau sepanjang 72 kilometer pula akan dilaksanakan oleh Samling.
Selain projek jalan raya, beliau berkata, pembangunan Tebingan Sungai Marudi turut diberikan perhatian bagi meningkatkan daya tarikan pelancongan dan merancakkan kegiatan ekonomi setempat.
Menurutnya, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) merancang pelaksanaan dua projek utama melibatkan naik taraf tebingan sungai dari kawasan hilir Pasar Marudi hingga Sekolah Rendah Datuk Sharif Hamid dengan anggaran kos RM12 juta.
Satu lagi projek melibatkan pembangunan laluan tebingan sungai dari Fort Hose hingga Dewan Suarah Marudi dengan peruntukan RM35 juta.

“Apabila siap kelak, sambungan tebingan sungai ini akan mempunyai panjang kira-kira 1.5 kilometer,” katanya.
Dalam pada itu, Penguang berkata, pelbagai projek pembangunan dan bantuan rakyat telah dilaksanakan di kawasan Marudi sepanjang dua penggal beliau menjadi wakil rakyat sejak 2016.
Antaranya, peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM31.5 juta yang disalurkan sejak 2017 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), biro wanita serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Selain itu, sebanyak 311 projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dilaksanakan sejak 2017, manakala 61 projek di bawah Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) melibatkan peruntukan RM8.46 juta.
Sebanyak 48 projek pinjaman untuk rumah panjang turut dilaksanakan sejak 2018 dengan peruntukan RM35.68 juta.
Bagi program baik pulih rumah di bawah MRP–PPRMS, sebanyak 184 projek telah dilaksanakan sejak 2018.
Penguang berkata, pembangunan kemudahan asas turut merangkumi pelaksanaan projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (RES/SARES) bernilai RM70.7 juta di beberapa kawasan termasuk Baram Hilir, Kampung Benawa, Lapok, Tinjar, Jegan, Bukit Limau, Peking dan Long Tinjar.
Sementara itu, sebanyak RM91.85 juta diperuntukkan bagi projek Bekalan Air Bersih Luar Bandar melibatkan kawasan Tinjar Fasa 2, NR2 dan Sungai Buri.
Beliau berkata, peruntukan RM4.4 bilion turut melibatkan 35 projek rakyat, termasuk pembangunan jalan raya Miri–Marudi–Long Panai–Long Lama.
Sebanyak 31 projek khas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pula melibatkan kerja baik pulih jalan yang rosak akibat hujan dan banjir, dengan peruntukan RM33.7 juta.
Menurut Penguang, pelbagai inisiatif pembangunan itu mencerminkan usaha berterusan kerajaan negeri dalam meningkatkan kemudahan asas, jaringan perhubungan dan kesejahteraan masyarakat luar bandar.
Beliau berharap lebih banyak projek infrastruktur dan pembangunan rakyat dapat dilaksanakan di kawasan Marudi bagi memastikan penduduk pedalaman turut menikmati kemajuan yang seimbang.
Marudi yang merupakan pusat pentadbiran Daerah Baram kini boleh dihubungi melalui jalan darat dan perkhidmatan udara menggunakan pesawat Twin Otter yang mampu membawa 19 penumpang
Peningkatan jaringan pengangkutan, termasuk pembinaan jalan baharu dan pembangunan tebingan sungai, dijangka memperkukuh kedudukan Marudi sebagai pusat kegiatan ekonomi, perdagangan dan pelancongan di kawasan Baram.
Oleh Jiku Juguong




