SKUAD Kuching City FC tidak rela hasratnya untuk memburu slot ke Piala Malaysia 2021 tersekat ketika turun dalam perlawanan menentang Terengganu FC II (TFC II) pada aksi tertunda saingan Liga Premier di Stadium Pasir Gudang, petang ini.
Jueteru, Ketua Jurulatih Kuching City FC Irfan Bakti Abu Salim akui tugas mencabar bakal dihadapi anak didiknya biarpun bermain di gelanggang sendiri tatkala hanya memerlukan satu kemenangan untuk bersaing di pentas piala tertua di negara dan rantau Asia itu.
“Mahu tak mahu, kita mesti mendapatkan kemenangan menentang Terengganu ll dan kita tidak boleh tewas dan saya akan membariskan pemain terbaik berdepan dengan pasukan lawan petang ini,” katanya semalam.
Irfan berkata, beliau dijangka menurunkan pemain yang belum pernah beraksi dalam perlawanan kompetitif sebelum ini.
“Saya akan menurunkan empat atau lima pemain yang belum pernah diturunkan sebelum ini, tetapi kami perlukan senarai pemain yang terbaik untuk capai hasrat tiga mata mutlak,” ujarnya.
Jurulatih berpengalaman itu menegaskan anak buahnya tidak terikut-ikut dengan corak yang bakal dimainkan oleh pasukan kendalian Badrul Afzan Razali yang dilihat sentiasa menutup ruang terutama di posisi tengah bagi mengelak pasukan lawan menguasai posisi berkenaan.
“Kami perlu permainan sendiri. Kita menentang pasukan yang bagus seperti Terengganu ll dan ia pastinya bukan tugas yang mudah,” tambahnya.
Baliau turut memberi amaran kepada pemain-pemainnya agar berwaspada terhadap penyerang import Terengganu ll, Jordan Mintah yang mampu memberi ancaman kepada pasukan The Cats terutamanya di barisan benteng pertahanan.
“Saya mahu pemain pertahanan yang diterajui Aylton Ananias mampu menyekat serangan pihak lawan diterajui oleh Mintah yang bakal memberi ancaman kepada pasukan kita,” kata Irfan.
Beliau menjangkakan Terengganu ll akan turun habis-habisan kerana mereka mahu tamatkan saingan liga di tempat ketiga dan Kuching City juga mahu kemenangan untuk layak ke slot Piala Malaysia.
“Jadi perlawanan nanti ibarat ‘final’ buat kami dan pemain harus beri yang terbaik,” kata Irfan Bakti.
Kuching City hanya memerlukan tiga mata daripada baki tiga aksi untuk layak ke Piala Malaysia apabila pasukan ‘feeder’ seperti Johor Darul Ta’zim (JDT) II yang menghuni tangga ketiga, Terengganu FC II ditangga keempat dan Selangor FC 2 berada ditangga keenam tidak boleh beraksi dalam kejohanan berprestij itu.
Apa pun, Kuching City kini hanya memerlukan satu lagi kemenangan untuk mengesahkan dan memastikan mereka akan melayakkan diri ke Piala Malaysia.
Hanya lima pasukan terbaik Liga Premier (tidak termasuk kelab ‘feeder’ layak beraksi di Piala Malaysia 2021.
Oleh ADI SAFARMAN