Tepis persepsi, Mizuandy bina nama dalam dunia solekan dan andaman

Facebook
WhatsApp
ABANG Mohammad Mizuandy.

KUCHING, 19 Oktober: Abang Mohammad Mizuandy, 46, membuktikan bahawa lelaki juga mampu berjaya dalam bidang solekan dan andaman apabila membina kerjaya dalam industri itu sejak 2008, sekali gus menepis stigma masyarakat terhadap penglibatan lelaki dalam bidang berkenaan.

Mizuandy berkata, tanggapan bahawa lelaki yang menceburi bidang solekan mempunyai sifat lembut merupakan antara stigma yang perlu diubah bagi membuka lebih banyak peluang kepada lelaki untuk berkecimpung dalam industri itu.

Menurutnya, bidang solekan dan andaman terbuka kepada semua tanpa mengira jantina kerana kemahiran tersebut diperlukan untuk memenuhi keperluan pelanggan lelaki dan wanita bagi pelbagai acara.

“Bukan semua lelaki yang terlibat dalam bidang ini bersifat lembut. Lelaki juga boleh menceburi bidang solekan, khususnya untuk pasaran lelaki,” katanya.

MIZUANDY melakukan solekan pada pengantin lelaki sebagai persiapan sebelum majlis berlangsung.

Beliau berkata, penglibatannya dalam industri itu bermula apabila beliau bersama isterinya mengembangkan perniagaan, meskipun pada awalnya beliau tidak berminat dalam bidang pengurusan acara.

Bagaimanapun, pengalaman dan pendedahan ketika mengendalikan pelbagai acara membuka peluang kepada beliau untuk menjadikan industri tersebut sebagai kerjaya sehingga hari ini.

Sepanjang penglibatannya, Mizuandy berkata, beliau tidak berdepan masalah besar untuk diterima masyarakat ketika menjalankan tugas dalam pelbagai acara, termasuk pertunjukan fesyen, penggambaran dan majlis perkahwinan.

KETELITIAN…Mizuandy memberikan sentuhan solekan pada pelanggan sebagai sebahagian daripada persiapan untuk tampil kemas dan yakin.

Namun, beliau mengakui peluang menjana pendapatan lumayan menerusi bidang solekan dan andaman di Sarawak masih terbatas berikutan saiz pasaran yang lebih kecil berbanding di Semenanjung Malaysia.

Katanya, keadaan itu menjadi antara cabaran dalam mengembangkan perniagaannya di Kuching. Bagaimanapun, permintaan terhadap tenaga kerja di belakang tabir bagi pelbagai acara masih membuka peluang kepada penggiat industri berkenaan.

Antara pengalaman paling berharga dalam kerjayanya ialah terlibat dalam persiapan di belakang pentas bagi pertunjukan fesyen yang membabitkan Tengku Ampuan Pahang.

PERSIAPAN…Mizuandy membantu membetulkan pakaian pelanggan bagi memastikan penampilan kemas dan sempurna sebelum majlis berlangsung.

Menurutnya, pengalaman itu menuntut ketelitian bagi memastikan setiap persiapan memenuhi jangkaan pereka fesyen, selain memerlukan beliau menjaga adab dan tatasusila ketika berurusan dengan kerabat diraja.

Bagi Mizuandy, kejayaan dalam bidang solekan dan andaman bukan hanya bergantung pada bakat, tetapi turut memerlukan kesungguhan untuk menimba ilmu, meningkatkan kemahiran dan mengekalkan profesionalisme dalam setiap tugasan.

Beliau turut menasihatkan lelaki yang berminat menceburi bidang itu agar tidak membiarkan persepsi masyarakat mematahkan semangat mereka. Sebaliknya, mereka perlu melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran yang mencukupi bagi membina kerjaya yang berdaya saing.

Oleh Norman B

Mei Xing umum bersara

KUALA LUMPUR, 19 Oktober: Pemain beregu wanita kebangsaan Teoh Mei Xing mengumumkan persaraannya daripada sukan badminton kompetitif, selepas lebih sedekad