Kursus Gol Brasil buka ruang lahir lebih ramai jurulatih futsal komuniti

Facebook
WhatsApp
MICHAEL Kong bergambar bersama peserta Kursus Asas Kejurulatihan Futsal Komuniti Gol Brasil di Kuching.

KUCHING, 19 Oktober: Kursus Asas Kejurulatihan Futsal Komuniti Gol Brasil dilihat mampu menjadi platform melahirkan lebih ramai jurulatih futsal di peringkat akar umbi, khususnya dalam kalangan masyarakat setempat.

Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Stampin, Michael Kong, berkata penglibatan orang ramai dalam kursus berkenaan menunjukkan terdapat minat dalam kalangan masyarakat untuk meningkatkan kemahiran serta pengetahuan dalam bidang kejurulatihan futsal.

Menurutnya, penyertaan golongan dewasa yang bekerja juga membuktikan minat terhadap futsal bukan sekadar tertumpu kepada golongan muda, malah turut mendapat perhatian masyarakat yang mahu terus belajar dan menyumbang kepada pembangunan sukan berkenaan.

“Apa yang paling memberi inspirasi ialah ramai peserta merupakan golongan dewasa yang bekerja, namun sanggup meluangkan masa daripada jadual harian mereka yang sibuk untuk menghadiri kursus ini.

“Mereka hadir bukan kerana tuntutan pekerjaan, tetapi atas minat mendalam terhadap futsal serta keinginan untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan,” katanya.

Beliau berkata kursus yang dikendalikan pengajar futsal Gol Brasil yang berpengalaman dan bertauliah, Awang Haji Puspa, turut memberi peluang kepada peserta mempelajari asas kejurulatihan serta mendapatkan pendedahan berdasarkan pengalaman dalam bidang berkenaan.

Kong berkata usaha memperbanyakkan peluang pembelajaran seperti itu penting bagi memastikan pembangunan futsal tidak hanya bergantung kepada pemain, tetapi turut disokong oleh barisan jurulatih yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran.

“Sama ada melalui sukan, kejurulatihan atau aktiviti kemasyarakatan yang lain, kita sentiasa mempunyai ruang untuk belajar, berkembang dan menyumbang,” katanya.

Beliau berkata lebih ramai individu yang mempunyai kemahiran kejurulatihan dapat membantu memperluaskan penyertaan futsal dalam komuniti serta memberi pendedahan kepada generasi muda.

“Dengan menyokong para peserta ini, kita berharap dapat menggalakkan lebih ramai orang menceburi bidang kejurulatihan dan membantu melahirkan generasi pemain futsal seterusnya,” katanya.

Kong menambah bahawa futsal bukan sahaja memberi manfaat dari segi kecergasan, malah menjadi medium untuk masyarakat daripada pelbagai latar belakang menjalinkan persahabatan, memupuk semangat kerja berpasukan dan mengamalkan gaya hidup aktif.

Beliau berharap kursus seumpama itu dapat terus mendapat sambutan dan menjadi antara usaha memperkukuh pembangunan futsal di peringkat komuniti.

Oleh Connie Chieng