PUSA, 17 Oktober: Penduduk di Daerah Pusa bakal menikmati kemudahan jalan perhubungan yang lebih baik apabila Jambatan Batang Saribas 2 sepanjang kira-kira 2.43 kilometer dijangka dibuka kepada lalu lintas pada 5 Disember ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata pembukaan jambatan itu bakal menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat, selain memudahkan pergerakan penduduk antara kawasan.
Menurutnya, kemudahan infrastruktur berkenaan bukan sekadar menghubungkan kawasan, malah membuka peluang lebih luas kepada penduduk untuk meningkatkan pendapatan melalui aktiviti ekonomi.
Beliau berkata, akses perhubungan yang lebih baik membolehkan hasil pertanian dan perikanan dipasarkan dengan lebih mudah, sekali gus membantu mengembangkan perniagaan tempatan.
“Apabila hubungan antara kawasan semakin baik, hasil pertanian dan perikanan lebih mudah dipasarkan, perniagaan dapat berkembang dan lebih ramai pengunjung berpeluang datang ke Pusa,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, pada Majlis Perasmian Regata Tandang Sari 2026 di Dataran Tandang Sari, di sini, hari ini.
Abang Johari menegaskan kemudahan infrastruktur yang dibangunkan kerajaan perlu dimanfaatkan sepenuhnya supaya manfaatnya dapat diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan dan kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, pembukaan Jambatan Batang Saribas 2 melengkapkan lagi usaha memperkukuh jaringan perhubungan di bahagian berkenaan.
Sebelum ini, Jambatan Batang Saribas 1 dibuka pada Julai 2025, diikuti Jambatan Sungai Krian pada Mac lalu dan Jambatan Batang Lupar 1 pada Mei lalu.
Rangkaian jambatan berkenaan dijangka memberi impak positif kepada mobiliti penduduk, kelancaran pengangkutan hasil pertanian dan perikanan serta perkembangan aktiviti perniagaan dan pelancongan di Pusa dan kawasan sekitarnya.
Oleh Adi Safarman





