SIMANGGANG, 17 Oktober: Pemimpin komuniti perlu melengkapkan diri dengan kemahiran teknologi maklumat bagi memastikan sistem pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan dalam era digital masa kini.
Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie berkata penguasaan kemahiran asas seperti penggunaan Microsoft Word, Google Workspace, ChatGPT serta pengurusan dokumen rasmi kini menjadi keperluan penting bagi pemimpin akar umbi.
Menurut beliau, kemahiran tersebut mampu membantu meningkatkan kecekapan dalam penyediaan laporan, pengurusan maklumat serta urusan pentadbiran harian yang semakin bergantung kepada teknologi digital.
“Pemimpin komuniti perlu sentiasa bersedia menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi supaya dapat memberikan perkhidmatan yang lebih efektif kepada masyarakat,” katanya.
Belau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penutupan Bengkel Pemantapan Kemahiran IT untuk Ketua Komuniti di Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (Sarawak Skills) Sri Aman, semalam.
Doris menjelaskan bahawa bengkel berkenaan merupakan siri keenam sejak diperkenalkan pada awal tahun 2025 dan kumpulan pertama yang dilaksanakan menerusi kerjasama dengan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia mengenai Matlamat Pembangunan Mampan (APPGM-SDG).
Beliau turut melahirkan rasa bangga terhadap komitmen dan semangat yang ditunjukkan oleh para peserta sepanjang program tersebut. Katanya, penyertaan peserta berusia lebih 70 tahun, termasuk yang paling senior berumur 74 tahun, membuktikan bahawa usia bukan halangan untuk terus menimba ilmu dan meningkatkan kemahiran diri.
*Semangat yang ditunjukkan oleh peserta menjadi inspirasi kepada masyarakat bahawa proses pembelajaran tidak mengenal had umur,” ujarnya.
Pada masa yang sama, beliau merakamkan penghargaan kepada tenaga pengajar yang bertungkus-lumus menjayakan bengkel tersebut serta mengucapkan tahniah kepada semua peserta atas kesungguhan mereka mengikuti latihan yang disediakan.
Beliau berharap ilmu dan kemahiran yang diperoleh dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin komuniti demi kesejahteraan penduduk setempat.
Bengkel berkenaan dianjurkan secara kolaboratif oleh Pusat Khidmat Rakyat P.202 Sri Aman, APPGM-SDG, Sarawak Skills Sri Aman serta pejabat-pejabat daerah di kawasan Parlimen Sri Aman dengan penyertaan seramai 25 peserta.
Turut hadir Pengurus Sarawak Skills Sri Aman, Dester Jagit, wakil Pejabat Daerah Sri Aman, Pantu, Lingga dan Balai Ringin, Temenggong Leonard Libau, Temenggong Mohd Shah Achang serta barisan penghulu sekitar Sri Aman.
Oleh Adi Safarman




