ALOR GAJAH, 18 Oktober: Seramai 1.2 juta pekerja yang sebelum ini memilih untuk tidak mencarum di bawah Skim Lindung 24 Jam Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) digesa mengambil peluang untuk mendapatkan perlindungan berkenaan susulan pengumuman insentif pelepasan cukai tambahan sebanyak RM150 setahun menerusi Belanjawan 2027.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, insentif itu merupakan peluang terbaik bagi pekerja untuk mula mencarum semula bagi memastikan mereka mendapat perlindungan keselamatan sosial sekiranya berlaku kemalangan di luar waktu bekerja.
Beliau berkata, kepentingan perlindungan itu perlu diberi perhatian memandangkan Skim Lindung 24 Jam merekodkan sebanyak 10,424 tuntutan dari 1 Jun hingga 30 September lepas, bersamaan purata 85 kes sehari.
“Angka ini mengingatkan kita bahawa kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa dan perlindungan kewangan amat penting apabila seseorang berdepan musibah.
“Jangan apabila hujan baru mahu mencari payung, tambahan pula kos perubatan yang semakin meningkat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program i Lindung u Gegar @ Melaka di Dataran Keris, di sini, hari ini.
Ramanan berkata, kerajaan memahami kebimbangan rakyat berhubung pendapatan boleh guna susulan tekanan inflasi yang dipengaruhi faktor global. Namun, perlindungan keselamatan sosial perlu terus menjadi keutamaan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Skim Pengembara yang menyasarkan 480,000 rakyat Malaysia yang berulang-alik ke Singapura setiap hari akan dibawa ke Parlimen dan dilaksanakan seperti yang dijanjikan Perdana Menteri ketika mengumumkannya pada sambutan Hari Pekerja lepas.
“Esok, Perkeso akan mengadakan pertemuan dengan lebih 800 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta mereka yang bekerja di Singapura bagi mengadakan sesi dialog dan memberikan penerangan mengenai Skim Pengembara di Johor Bahru, termasuk bersama-sama Duta Besar Malaysia ke Singapura.
“Mereka memang layak untuk mencarum dan skim ini bukan mandatori. Jadi, terpulang kepada mereka,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ramanan menggesa penyedia platform dalam industri gig memanfaatkan insentif kerajaan menerusi Belanjawan 2027 dengan turut membiayai caruman pekerja masing-masing.
Beliau berkata, kadar insentif padanan caruman Lindung Kendiri bagi pekerja e-panggilan dan p-panggilan berpendapatan RM3,000 ke bawah berpotensi ditingkatkan daripada 35 kepada 50 peratus sekiranya penyedia platform turut berkongsi tanggungjawab membayar caruman.
Peruntukan sebanyak RM30 juta disediakan bagi membantu 368,098 pekerja gig menerusi insentif berkenaan.
“Kita juga mahu mengingatkan penyedia platform bahawa penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan terhadap caruman Perkeso telah bermula pada 1 Oktober lepas, termasuk kewajipan melaksanakan potongan caruman mandatori dan mengintegrasikan sistem masing-masing dengan sistem Perkeso.
“Langkah itu penting bagi memastikan perlindungan keselamatan sosial dan keadilan kepada pekerja gig,” katanya.
Sementara itu, Program i Lindung u Gegar @ Melaka yang julung kali diadakan menyasarkan kehadiran 15,000 pengunjung sebagai sebahagian daripada usaha Kementerian Sumber Manusia dan Perkeso untuk mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.
Pada program sama, seramai 400 suri rumah di Melaka didaftarkan sebagai pencarum Lindung Kasih, sekali gus melayakkan mereka mendapat perlindungan Perkeso sekiranya berlaku musibah yang tidak dijangka. – Bernama




