SIMANGGANG, 17 Oktober: Seramai 15 graduan Kelas Anak Tempatan (KAT) berjaya menamatkan kursus membaca dan menulis menerusi program intensif selama enam bulan, sekali gus membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk menimba ilmu.
Kejayaan itu diraikan dalam majlis penutupan Graduasi KAT yang berlangsung di Rumah Wan, Guntong Ulu, Undop, semalam.
Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie berkata, beliau berpuas hati dengan usaha dan komitmen KEMAS Sri Aman dalam melaksanakan pelbagai program yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Menurut beliau, inisiatif berkenaan bukan sahaja menyumbang kepada kesejahteraan komuniti, malah turut memperkasa pendidikan dan meningkatkan tahap literasi dalam kalangan penduduk.
Beliau berkata, kejayaan 15 graduan itu membuktikan bahawa peluang pendidikan perlu terus dibuka kepada semua lapisan masyarakat, termasuk golongan dewasa yang tidak berpeluang mengikuti pendidikan formal ketika usia muda.
Katanya, program KAT bukan sekadar mengajar kemahiran asas membaca dan menulis, tetapi turut membantu peserta membina keyakinan diri serta membuka ruang kepada peluang ekonomi yang lebih baik.
“Pendidikan ialah hak semua, tanpa mengira usia. Tiada istilah terlambat untuk belajar,” katanya ketika merasmikan majlis tersebut.
Beliau menegaskan bahawa ilmu pengetahuan merupakan asas penting untuk membolehkan seseorang menjalani kehidupan yang lebih berdikari, meningkatkan taraf hidup dan meluaskan peluang masa depan.
Sehubungan itu, Doris berharap kejayaan para graduan menjadi pemangkin kepada lebih ramai penduduk untuk merebut peluang pendidikan yang disediakan menerusi program kemasyarakatan.
“Usaha berterusan KEMAS dalam memperluas akses pembelajaran di peringkat komuniti juga dilihat penting bagi memastikan golongan yang tercicir daripada pendidikan asas tidak terus ketinggalan,” katanya.
Majlis tersebut turut dihadiri Pegawai KEMAS Lubok Antu, Marinda Steward, 18 orang tuai rumah dari kawasan Undop serta empat ahli majlis.
Kejayaan 15 graduan itu menjadi bukti bahawa peluang kedua dalam pendidikan mampu membuka lembaran baharu, sekali gus memberi ruang kepada masyarakat untuk membina masa depan yang lebih baik.
Oleh Adi Safarman



