BETONG, 17 Oktober: Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2026 Peringkat Negeri Sarawak berlangsung meriah apabila merekodkan seramai 528,982 penyertaan keseluruhan menerusi 226 acara sukan, kecergasan dan rekreasi yang dianjurkan di seluruh negeri.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol berkata sambutan tahun ini membuktikan kehangatan serta semangat perpaduan rakyat Sarawak dalam menjayakan agenda sukan dan gaya hidup sihat.
Menurut beliau, pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBSN) Sarawak, kerajaan Sarawak serta seluruh jawatankuasa pelaksana atas kejayaan menganjurkan program berkenaan di Dewan Panglima Rentap, Betong.
“Penyertaan kira-kira 2,000 warga tempatan dalam acara Larian Ria MADANI sejauh lima kilometer dan Berjalan Ria MADANI sejauh dua kilometer bukan sahaja memeriahkan suasana, malah memperlihatkan komitmen tinggi rakyat Sarawak dalam mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pencapaian membanggakan itu turut disumbangkan oleh penglibatan aktif pelbagai lapisan masyarakat, agensi kerajaan, sektor swasta dan persatuan komuniti yang memainkan peranan penting dalam membudayakan amalan bersukan di kawasan bandar, luar bandar serta pedalaman.
Mordi turut menegaskan bahawa penganjuran HSN 2026 di Betong menyerlahkan hubungan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan menerusi KBS dan kerajaan Sarawak.
Katanya, kerjasama strategik tersebut membolehkan pelbagai kemudahan sukan, program pembangunan belia serta inisiatif gaya hidup sihat dilaksanakan secara berterusan sehingga ke peringkat akar umbi dan kampung-kampung di seluruh negeri.
Selain mempromosikan kesihatan dan kecergasan, beliau berkata aktiviti sukan juga menjadi medium berkesan untuk memperkukuh integrasi nasional, perpaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat berbilang kaum.
“Penggunaan teknologi seperti peranti pintar dan aplikasi kecergasan digital turut membantu menarik minat generasi muda untuk lebih aktif bersukan serta mengamalkan budaya hidup sihat secara konsisten,” katanya.
Beliau menambah, KBS akan terus komited memperkasakan agenda pembangunan belia dan sukan secara inklusif di Sarawak, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Sarawak Maju Makmur.
“Syabas dan terima kasih kepada seluruh warga Sarawak atas sokongan padu dalam menjayakan Hari Sukan Negara 2026,” katanya.
Oleh Adi Safarman





