SARIKEI, 17 Oktober: Lebih kurang 3,000 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat memeriahkan Sambutan Hari Sukan Negara 2026 Peringkat Bahagian Sarikei di pekarangan Dewan Suarah Sarikei.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, sambutan tersebut bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya menjadi platform penting untuk menggalakkan masyarakat menjadikan sukan dan aktiviti fizikal sebagai sebahagian daripada kehidupan seharian.
Katanya, penyertaan masyarakat daripada pelbagai peringkat usia dan latar belakang turut membuktikan bahawa sukan mampu menjadi medium penyatuan komuniti di samping meningkatkan tahap kesihatan dan kecergasan.

“Kita mahu melihat masyarakat yang bukan sahaja aktif bersukan, tetapi masyarakat yang lebih sihat, cergas, produktif dan bersatu padu.
“Kita juga perlu melihat sukan sebagai satu instrumen yang mampu menyatukan masyarakat. Di padang, di gelanggang, di trek larian dan dalam aktiviti rekreasi, kita berkumpul tanpa mengira kaum, agama, usia, latar belakang ataupun kedudukan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan sempena Sambutan Hari Sukan Negara 2026 Peringkat Bahagian Sarikei yang dibacakan oleh wakilnya, Pemanca Chan Phan Chan, hari ini.
Tambahnya, penglibatan masyarakat dalam aktiviti sukan perlu diteruskan secara konsisten dan tidak hanya tertumpu kepada program yang dianjurkan pada hari tertentu.
“Jangan tunggu sakit untuk mula bersukan. Jangan tunggu tua untuk mula menjaga kesihatan.
“Mulakan dengan apa yang kita mampu iaitu berjalan kaki, berjoging, berbasikal, bersenam, bermain badminton, bola sepak, futsal atau apa sahaja aktiviti fizikal yang sesuai. Paling penting ialah kita bergerak dan kekal aktif,” katanya.
Katanya, sambutan Hari Sukan Negara turut membawa mesej bahawa sukan perlu dinikmati oleh semua golongan masyarakat, termasuk warga emas, veteran, wanita, golongan Rakan Muda, orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak.
“Sukan menyatukan kita, membina disiplin, membentuk keyakinan diri dan memperkukuh semangat perpaduan,” katanya lagi.
Menyentuh pembangunan sukan di Bahagian Sarikei, katanya, kawasan tersebut mempunyai potensi besar untuk melahirkan masyarakat yang aktif dan sihat berdasarkan penglibatan anak muda berbakat, kelab sukan dan persatuan belia yang dinamik.
“Saya percaya Bahagian Sarikei mempunyai potensi yang besar untuk menjadi sebuah komuniti yang aktif dan sihat.
“Kita mempunyai anak-anak muda yang berbakat, kelab-kelab sukan yang aktif, persatuan belia yang dinamik serta masyarakat yang sentiasa memberikan sokongan terhadap program pembangunan sukan,” ujarnya.
Sehubungan dengan itu, beliau berharap semangat yang ditunjukkan menerusi sambutan tersebut dapat diteruskan melalui penglibatan dalam aktiviti riadah bersama keluarga, rakan dan komuniti setempat.
“Justeru, saya menyeru agar semangat yang kita bina melalui Hari Sukan Negara ini tidak berakhir apabila program pada hari ini selesai.
“Sebaliknya, marilah kita menjadikan hari ini sebagai titik permulaan untuk kita terus bersenam, beriadah, menyertai aktiviti sukan dan menggalakkan ahli keluarga serta rakan-rakan melakukan perkara yang sama,” katanya.
Dalam pada itu, Huang turut menyeru sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kelab sukan, institusi pendidikan dan komuniti setempat supaya berganding bahu dengan kerajaan dalam memperluas penganjuran program sukan di Bahagian Sarikei.
Menurutnya, kejayaan pembangunan sukan memerlukan kerjasama semua pihak bagi menyediakan lebih banyak peluang kepada masyarakat untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang bermanfaat.
“Kita mahu melahirkan generasi muda yang aktif tubuhnya, sihat fikirannya, tinggi disiplin dan kuat semangatnya.
“Kita juga mahu melihat lebih ramai bakat dari Bahagian Sarikei diketengahkan ke peringkat negeri, kebangsaan dan seterusnya antarabangsa,” katanya.
Huang berharap sambutan tersebut menjadi pemangkin kepada pembentukan komuniti yang lebih sihat, cergas dan bersatu padu, selaras dengan semangat Malaysia MADANI.
“Marilah kita menjadikan sukan sebagai jambatan perpaduan, sebagai medium membina masyarakat yang sihat dan sebagai platform untuk melahirkan generasi yang lebih berkualiti,” katanya.
Oleh Earl Anek





