SIBU, 17 Oktober: Aktiviti sukan mampu menyatukan masyarakat berbilang kaum dan agama, selain memupuk semangat kerjasama, disiplin serta sikap saling menghormati dalam kehidupan bermasyarakat.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing berkata, nilai positif yang diterapkan menerusi sukan perlu diamalkan dalam kehidupan seharian bagi memperkukuh perpaduan masyarakat serta memupuk keharmonian dalam kalangan rakyat.
“Bagaimanapun, aspek kesihatan dan keselamatan perlu diutamakan ketika bersukan, termasuk mengambil kira kemampuan diri, keadaan cuaca dan kualiti udara, khususnya ketika berlakunya jerebu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapannya yang dibacakan oleh Setiausaha Politik Premier Sarawak, Joshua Ting Fu Ying, pada sambutan Hari Sukan Negara 2026 Peringkat Bahagian Sibu di Kompleks Sukan Komuniti Azman Hashim, Sibu Jaya, pagi ini.
Tiong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong berkata, sambutan itu perlu dijadikan platform untuk menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat melalui aktiviti fizikal yang sesuai dengan kemampuan masing-masing.
Beliau turut menggalakkan persatuan sukan, pertubuhan belia, agensi kerajaan dan komuniti setempat menganjurkan lebih banyak aktiviti yang boleh disertai semua peringkat umur, termasuk warga emas dan golongan orang kurang upaya (OKU).
“Kemudahan sukan komuniti seperti Kompleks Sukan Komuniti Azman Hashim ini perlu dimanfaatkan secara berterusan, selain memastikan kebersihan dan kemudahan yang disediakan sentiasa dijaga untuk keselesaan pengguna,” katanya.
Tiong turut menzahirkan penghargaan terhadap pencapaian kontinjen olahraga Majlis Sukan Sekolah (MSS) Sarawak yang meraih lapan pingat emas, tujuh perak dan 12 gangsa pada Kejohanan MSSM Kali Ke-66 di Pahang, sekali gus menduduki tempat keempat keseluruhan berbanding tempat keenam pada 2025.
Beliau turut memuji pencapaian atlet paralimpik Sarawak yang menyumbang 13 pingat emas, 15 perak dan 10 gangsa kepada Malaysia pada Sukan Para Asia Ke-13 di Korat, Thailand, awal tahun ini.
“Marilah kita bersama meneruskan semangat Hari Sukan Negara dengan menjadikan aktiviti fizikal sebagai amalan harian.
“Saya juga merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur, agensi terlibat, sukarelawan dan peserta yang menjayakan sambutan ini,” ujarnya lagi.
Oleh Akun G





