Dua lelaki dipenjara lima tahun atas kesalahan dadah berulang di Kuching

Facebook
WhatsApp
KEDUA-DUA lelaki dijatuhi hukuman penjara atas kesalahan dadah berulang.

SERIAN, 16 Oktober: Dua lelaki tempatan masing-masing dijatuhi hukuman penjara lima tahun atas kesalahan dadah berulang mengikut Seksyen 39C(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 di Mahkamah Sesyen Kuching, hari ini.

Ketua Polis Daerah Serian, Superintenden Freddy Bian Stanislaus Bian berkata, kedua-dua kes dikendalikan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian.

Dalam kes pertama, seorang lelaki berusia 33 tahun dari Kampung Tebedu Bung, Serian, dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan.

Selepas selesai menjalani hukuman penjara, lelaki itu juga dikehendaki menjalani Perintah Pengawasan selama dua tahun mengikut Seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) akta yang sama, dibaca bersama Seksyen 39C(1) berhubung kesalahan berulang, di Mahkamah Sesyen 2 Kuching.

Dalam kes kedua, seorang lagi lelaki berusia 33 tahun dari Kampung Lintang Baru, Serian, dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan.

Selepas selesai menjalani hukuman penjara, lelaki itu turut dikehendaki menjalani Perintah Pengawasan selama dua tahun mengikut Seksyen 38B akta berkenaan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a), dibaca bersama Seksyen 39C(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 berhubung kesalahan berulang, di Mahkamah Sesyen 3 Kuching.

Polis Serian menegaskan bahawa Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik daerah itu akan terus mengambil tindakan tegas terhadap pengedar dadah serta individu yang mengulangi kesalahan berkaitan dadah di bawah Seksyen 39C akta berkenaan.