MIRI: Seorang lelaki didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret Miri selepas mengaku bersalah menjual produk tembakau yang tidak mematuhi syarat pembungkusan dan pelabelan amaran kesihatan.
Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu dipenjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Pejabat Kesihatan Bahagian Miri (PKBM) dalam kenyataan media hari ini memaklumkan, kesalahan itu dilakukan di sebuah premis di pusat perniagaan Tudan di sini mengikut Seksyen 10(1), Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
Hukuman dijatuhkan mengikut Seksyen 10(2)(a) akta sama, manakala pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa daripada Pejabat Kesihatan Bahagian Miri dengan kerjasama pegawai penyiasat dan penguat kuasa.
Kesalahan itu membabitkan penjualan pelbagai jenama produk tembakau yang tidak memenuhi ketetapan pembungkusan dan pelabelan amaran kesihatan seperti diperuntukkan undang-undang.
Dalam prosiding berasingan, tiga individu masing-masing didenda RM500 atau penjara dua minggu jika gagal membayar denda kerana merokok di kawasan larangan merokok.
Dua kesalahan dilakukan di premis kedai makan, manakala satu lagi di sebuah pusat beli-belah.
PKBM menegaskan semua individu, peniaga, pemilik dan pengendali premis perlu memahami serta mematuhi sepenuhnya peruntukan Akta 852 dan peraturan berkaitan.
Menurut kenyataan itu, akta berkenaan bertujuan mengawal selia produk merokok bagi melindungi kesihatan awam, khususnya kanak-kanak dan golongan muda, daripada risiko penggunaan serta pendedahan kepada produk merokok.
PKBM turut memberi amaran bahawa kegagalan mematuhi peraturan boleh membawa kepada tindakan penguatkuasaan, pendakwaan di mahkamah dan hukuman mengikut undang-undang.
Pihaknya akan meneruskan pemeriksaan, pemantauan, pendidikan kesihatan dan aktiviti penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan terhadap Akta 852.
Oleh Liong Chai Ling




